PETALING JAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), bagi melantik pengerusi baharu gabungan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, Abdul Hadi berkata, pihaknya telah menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Jelasnya, panggilan mesyuarat tergempar itu juga selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.
“Saya sebagai Presiden Pas sudah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi, bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Di pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin serta merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti dicurahkan sepanjang menerajui PN, sebelum ini,”katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, gesaan supaya MT PN segera bermesyuarat itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu.
“Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan terbabit sudah melebihi 10 hari,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Ahi Parlimen Pagoh itu melepaskan jawatannya selepas lima tahun menerajui kepimpinan PN, sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi, pada 7 Ogos 2020. – KOSMO! ONLINE














