ALOR SETAR – Seorang jurukimpal dan bapa mentuanya dihukum penjara selama 113 bulan atas pelbagai kesalahan termasuk merompak dan pecah rumah sejak November lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Muhammad Nazir, 24, dan Rasulden Jamal Mohamed, 47, dijatuhi hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas enam tuduhan termasuk tiga kesalahan yang dilakukan secara bersama di dua mahkamah di sini hari ini.
Bagaimanapun, Muhammad Firdaus hany perlu menjalani hukuman penjara selama tiga tahun, manakala Rasulden pula 18 bulan selepas mengambil kira hukuman itu yang berjalan secara serentak bermula dari tarikh mereka ditahan dan disabitkan kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Sharmila Abdul Samad menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Muhammad Firdaus selepas mengaku bersalah merompak beg tangan seorang wanita yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, wang RM150 dan tablet jenama Apple berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Putra, di sini pada pukul 11.50 pagi, 18 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Muhammad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas kesalahan pecah rumah di Taman Sri Derga, Jalan Datuk Kumbar pada pukul 4 pagi, 18 November lalu. Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun.
Bagi dua pertuduhan yang dilakukan bersama Rasulden, mereka didakwa menyimpan harta curi iaitu telefon Samsung dan enjin motosikal Modenas Kriss di sebuah rumah di Lorong Ayer Puteh, Jalan Kota Tanah, di sini antara pukul 2.30 hingga 4 pagi, 20 Disember lalu.
Nur Syifa memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 18 bulan bagi dua pertuduhan tersebut yang dikemukakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Rasulden turut dipenjara tujuh bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah beg, empat keping mata wang asing serta dua utas jam tangan termasuk berjenama Rolex di lokasi dan tarikh sama.
Terdahulu, di hadapan Majistret Eliana Ismail, mereka dihukum penjara lima bulan selepas mengaku salah menyimpan secara bersama telefon Vivo yang diragut daripada warga Myanmar.
Kosmo! Online pada 23 Disember lalu melaporkan polis berjaya menahan seorang lelaki bersama menantunya sekali gus menyelesaikan beberapa kes ragut yang aktif di sekitar daerah Kota Setar, sejak tiga bulan lalu. – KOSMO! ONLINE














