SHAH ALAM – Meskipun terpaksa akur perjuangannya terhenti di pentas Big Stage X Rocketfuel, penyanyi, Rieffa tetap berlapang dada dan menyifatkan penyingkiran tersebut sebagai aturan rezeki yang ditetapkan untuknya.
Rieffa atau nama sebenarnya Muhamad Alif Abdullah, 18, mengakui walaupun wujud rasa terkilan, kegagalan melangkah ke peringkat seterusnya sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengorak langkah dalam industri muzik tanah air.
“Nak kata tak patut tersingkir itu tidaklah juga. Kalau Allah kata rezeki sampai sini, reda saja.
“Tak mematahkan semangat saya tapi agak terkilan sebab saya rasa dah boleh buat yang terbaik untuk minggu ini.
“Insya-Allah, di luar sana mungkin akan ada benda yang lebih baik seperti ada lagu sendiri,” katanya semasa sidang media usai Big Stage X Rocketfuel, semalam.
Mengulas mengenai persembahan, anak kepada pempengaruh Ayu Kepoh itu menjelaskan sudah memberikan komitmen seratus peratus, malah sanggup bersengkang mata demi menyuntik kelainan dalam susunan lagu yang dibawakannya.
“Secara peribadi, saya rasa dah buat yang terbaik sebab lagu itu saya banyak buat susunan sendiri.
“Saya sampai tak tidur malam untuk buat susunan lagi. Lagu Terakhir sebenarnya tak ada dram dan bass, tapi saya tambah sedikit.
“Saya sedar, saya masih muda dan banyak benda perlu dipelajari,” ujarnya.
Disoal mengenai detik hampir rebah semasa pengumuman penyingkiran, Rieffa mengakui situasi tersebut terjadi kerana kekecewaan tidak dapat membawa harapan keluarga ke peringkat akhir.
“Ya saya hampir nak terjatuh, nasib ada abang-abang (peserta lain) yang sempat papah saya.
“Saya rasa lemah, rasa dah tak boleh buat apa-apa dah. Rasa macam dah menghampakan keluarga saya terutama mak saya yang nak sangat tengok saya masuk final.
“Bila saya tengok atas pentas terus nampak mak dan nenek saya, terus rasa nak jatuh macam nak pitam. Tapi nasib baik saya boleh kawal lagi,” ujarnya lagi.
Semalam, Rieffa terpaksa meninggalkan pentas Big Stgae X Rocketfuel apabila mendapat markah tercorot sebanyak 65 peratus.
Semasa nama diumumkan, Rieffa menangis dan gagal mengawal keadaan sehingga hampir rebah.
Big Stage X Rocketfuel dihoskan Nabil Ahmad dan Azeva sementara barisan juri pula terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad. – KOSMO! ONLINE














