1- 1MDB: Najib dijel 15 tahun
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Mahkamah Tinggi memutuskan demikian pada 26 Disember lalu selepas mendengar mitegasi hukuman daripada pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara serentak itu bermula selepas Najib menjalani hukuman pemenjaraan dana SRC International Sdn. Bhd.
2- Ismail Sabri dipanggil bantu siasatan
Pada 13 Mac lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Sebelum ini, SPRM menyita wang RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta. Siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau meneraju negara. Pada 1 Oktober lalu. wang lebih RM169 juta yang dikaitkan dengan Ismail Sabri dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
3- Ibu Zayn Rayyan ke penjara
Perbicaraan kes berhubung kematian kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matin ternoktah pada 31 Oktober lalu apabila ibunya, Ismanira Abdul Manaf dijatuhi hukuman penjara lima tahun, bon berkelakuan baik dua tahun dan jalani khidmat masyarakat 120 jam.
Mahkamah menolak permohonan penangguhan hukuman menyebabkan Ismanira perlu jalani hukuman serta-merta. Ismanira, sebagai orang didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin sebabkannya alami kecederaan fizikal pada 5 dan 6 Disember 2023.
4- Sanusi bebas, lepas tuduhan menghasut
“Junjung kasih baginda Sultan Pahang (Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah),” demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selepas dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dua tahun lalu.
Ucapan itu dibuat selepas Sultan Abdullah berkenan memberi warkah pengampunan sebelum pihak pembelaan mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan tersebut pada 24 Februari lalu.
5- Ibu cari keadilan untuk Syamsul Haris
Seorang wanita menuntut keadilan atas kematian anaknya, Syamsul Haris Sham sudin, 22, yang juga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) ketika menjalani latihan di lapang sasar pada 28 Julai lalu. Kubur pemuda itu kemudian digali semula pada 28 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan. Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
6- Pelajar mati ditikam junior sekolah
Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dalam keadaan tragis selepas ditikam pelajar junior di sebuah sekolah di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu. Insiden pada pukul 9.10 pagi itu berlaku di kawasan tandas perempuan.
Suspek berusia 14 tahun menyerang mangsa menggunakan beberapa senjata tajam. Polis mendedahkan suspek menaruh perasaan cinta terhadap mangsa, namun tidak pernah dikongsikan.
7- Program motivasi eHati jadi ‘panas’
Sebuah program motivasi keluarga mencetuskan kontroversi selepas didakwa mencemarkan imej Islam. Pada 26 November, kaunselor eHati didenda RM4,000 selepas mengaku salah menyebabkan Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badan yang dilarang hukum syarak sehingga boleh dilihat orang lain.
Dua lagi kaunselor mengaku tidak bersalah. Pengasas eHati dan suami dikenakan waran tangkap. Mereka dipercayai berada di luar negara.
8- Anak Rafizi diserang
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa anak lelakinya berusia 12 tahun diserang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. Dalam kejadian pada 13 Ogos lalu, dua lelaki bermotosikal menarik anaknya yang sedang menuju ke kereta bersama isteri sebelum dicucuk dengan jarum suntikan.
9- Shamsul, Albert Tei diheret ke mahkamah
Ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah pada 4 Disember lalu atas empat tuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin. Dia didakwa memberikan suapan termasuk tunai berjumlah lebih RM176,000 sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar, 51, turut mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan rasuah untuk dirinya. Mereka turut berdepan satu lagi pertuduhan rasuah bayaran sewa rumah berjumlah RM64,920.














