SHAH ALAM – Disiplin dan semangat kental menjadi kunci utama buat atlet memanah negara, Mohamad Syafiq Md. Ariffin, 26, menggenggam ijazah sarjana muda pada Istiadat Konvokesyen ke-104 Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.
Graduan jurusan Sains Sukan itu mengakui perjalanan menamatkan pengajian bukan mudah apabila terpaksa memanjangkan tempoh pengajian susulan jadual latihan serta kejohanan yang padat.
Menurut anak kelahiran Terengganu itu, rutin harian sebagai atlet pelajar menuntut disiplin tinggi selain ketahanan mental yang kuat bagi memastikan akademik dan karier sukan bergerak seiring.
“Rutin harian saya biasanya menghadiri kelas pada waktu pagi sebelum pergi ke sesi latihan intensif pada sebelah petang dan ia menuntut tahap kesabaran dan ketahanan mental yang tinggi,” katanya.
Tambah Mohamad Syafiq, atlet pelajar perlu bijak menguruskan masa antara latihan dan pengajian bagi memastikan kedua-duanya dapat diseimbangkan dengan baik.
“Perjalanan dalam dunia sukan bukan mudah kerana kita perlu membahagikan masa antara kelas, latihan dan pertandingan. Teruskan berjuang dan percaya setiap usaha membuahkan hasil pada masa depan,” ujarnya.
Mohamad Syafiq mencipta nama apabila membantu skuad negara meraih pingat gangsa berpasukan di Sukan Asia Hangzhou 2023 dan pingat emas pada Sukan Sea Thailand tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














