SUNGAI PETANI – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian seorang bayi patah paha kanan semasa menerima rawatan di sebuah hospital di sini baru-baru ini supaya tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kalangan ibu yang mendapatkan rawatan selepas bersalin di hospital tersebut atau mana-mana ahli keluarga yang berada di situ antara 28 April hingga 10 Mei lalu diminta tampil segera menyalurkan maklumat.
“Saya nak minta mana-mana individu yang mungkin berada di wad tersebut yang mungkin tahu atau melihat kejadian dan ingin berkongsi maklumat agar hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
“Kita memerlukan bantuanmereka bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 11 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda di sini hari ini.
Kata Hanyan, sebaik menerima laporan dari bapa mangsa, polis membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001.
“Selain menunggu hasil siasatan dalaman pihak hospital berkenaan, kita juga telah membuat siasatan sendiri melalui perjumpaan dengan kakitangan hospital yang bertugas, menerima pendapat pakar, melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan menemubual saksi lain.
“Kita perlu mengumpul bukti untuk memastikan kecederaan bayi itu adakah akibat semula jadi atau ada unsur-unsur perlakuan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Difahamkan bayi itu masih menerima rawatan di hospital berkenaan termasuk penggunaan khidmat membabitkan pakar luar.
Kosmo! pada 11 Mei lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia 13 hari mengalami patah tulang paha didakwa ketika menerima rawatan akibat penyakit jaundis di sebuah hospital di daerah ini.
Bapa bayi terbabit, Muhammad Nor Fadly Mohd Shaidi, 38, berkata, dia dan isterinya, Nor Shahila Abd Hamid, 34, hanya mengetahui kejadian selepas mendapati paha kanan bayi mereka dalam keadaan berbalut.-KOSMO! ONLINE














