SUNGAI BULOH – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kampung Merbau Sempak di sini sejak Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan remaja itu pada 13 Mei lalu kira-kira pukul 3.54 petang.
Menurut beliau, orang hilang (OH) dikenali sebagai Nur Amani Damia Roslan, berusia 15 tahun 10 bulan.
“OH itu dilaporkan tiada di rumah sejak 17 Mac 2026 kira-kira pukul 7.30 pagi di alamat Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.
“OH dipercayai memakai baju berwarna gelap, seluar gelap serta berselipar ketika kali terakhir dilihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, remaja itu mempunyai anggaran ketinggian 150 sentimeter dengan berat badan kira-kira 60 kilogram, berkulit cerah dan berambut pendek.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sjn. Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














