fbpx
Anggota polis membawa Wan Saiful Azuan (berbaju hijau) dan Yujas Nor Aida (bertudung putih) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Guru tadika, suami didakwa aniaya anak saudara usia 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang kelindan lori dan isterinya yang merupakan guru tadika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak saudara mereka di sebuah rumah di Machang dekat sini bulan lalu.

Tertuduh, Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31, dan Yujas Nor Aida Jasmin Mohd. Yusoff, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, Machang pada pukul 10 malam, 19 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, manakala pasangan tersebut diwakili peguam Mohd. Taufikrullah Rusli dan Muhd. Zulfaqar Saharrudin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri dua bulan sekali di balai polis berhampiran. Tarikh 15 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. Difahamkan, mangsa berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah sehingga Jun sebelum diserahkan kepada neneknya.

Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera anak saudara mereka yang berusia 10 tahun di Machang.

Tangkapan ke atas pasangan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Bakar, Machang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN