fbpx
ALONSO dilapor bakal diumum sebagai pengurus baharu Chelsea selepas bersetuju dengan semua terma yang dikemukakan. - AFP

EPL: Chelsea sah lantik Alonso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Chelsea berjaya memujuk Xabi Alonso kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menandatangani kontrak selama empat tahun untuk menjadi pengendali baharu The Blues bermula musim depan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Alonso mengakui cukup bangga diberi peluang membimbing Chelsea yang dianggap salah satu kelab terbesar dunia.

“Chelsea adalah salah satu kelab terbesar dalam bola sepak dunia dan ia satu penghormatan besar buat saya untuk menjadi pengurus kelab ini.

“Hasil perbincangan bersama pemilik dan pihak pengurusan sukan kelab, jelas kami berkongsi cita-cita yang sama. Kami mahu membina pasukan yang mampu bersaing secara konsisten di tahap tertinggi dan memburu trofi.

“Terdapat bakat besar dalam skuad ini dan mereka memiliki potensi. Sudah menjadi tanggungjawab untuk saya memimpin, membina budaya yang tepat dan memenangi trofi,” katanya.

Sebagai rekod, Chelsea kini tanpa pengendali tetap selepas Liam Rosenior dipecat bulan lalu meskipun hanya mengambil alih pasukan menggantikan Enzo Maresca pada Januari lalu.

Difahamkan, BlueCo turut mempertimbangkan jurulatih berpengalaman EPL seperti Andoni Iraola dan Marco Silva, namun pihak pengurusan Chelsea menjadikan Alonso sebagai sasaran utama selepas tertarik dengan falsafah bola sepak yang diterapkannya.

Karier kejurulatihan Alonso melonjak ketika bersama Bayer Leverkusen apabila berjaya menghadiahkan gelaran Bundesliga pertama dalam sejarah kelab sebelum berhijrah ke Real Madrid tahun lalu.

Namun, perjalanan Alonso di Real Madrid tidak bertahan lama apabila beliau dipecat pada Januari selepas prestasi tidak konsisten selain didakwa mengalami konflik dalaman dengan beberapa pemain utama termasuk Vinicius Junior. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN