KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Kemunting, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 9.55 pagi.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 49 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang diparkir di hadapan restoran berkenaan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada pukul 2 petang tadi.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai meninggal dunia di dalam sebuah Perodua Bezza berwarna hitam di Jalan Kemunting. – KOSMO! ONLINE














