SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kejayaan pembinaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam tidak wajar dimonopoli mana-mana pihak tertentu.
Baginda bertitah, projek itu direalisasikan hasil kesinambungan dasar, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.
“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.
“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titahnya menerusi perutusan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek LRT3 yang kini memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitar.
Sultan Sharafuddin turut menyingkap kembali cadangan awal pembinaan projek itu tercetus hasil keluhan rakyat, termasuk surat daripada suri rumah berhubung kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan yang menyebabkan suami mereka lewat pulang ke rumah selepas waktu kerja.
Baginda menjelaskan cadangan itu telah dimaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar satu sistem rel dibina bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur dan diterima tanp ragu oleh Najib.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titah baginda.
Baginda turut menyatakan projek itu pernah tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehingga tahun 2021.
“Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Phua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya merupakan projek ”Mega” sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta. Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran mereka juga saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan. Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan,” titahnya.
Bagaimanapun, baginda menzahirkan penghargaan apabila projek itu disambung semula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, termasuk keputusan mengembalikan lima stesen yang dibatalkan serta cadangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan stesen.
“Beta berharap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.
“Malah, beta berharap pembukaan LRT3 ini berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur,” titahnya. – KOSMO! ONLINE














