IPOH – Permohonan representasi yang dikemukakan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, untuk menarik balik pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditolak pihak pendakwaan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani ketika prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Bagi prosiding hari ini, seperti yang dimaklumkan semasa pengurusan kes sebelum ini, pihak pendakwaan menerima arahan untuk meneruskan pendakwaan selepas permohonan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dikaji dan diteliti.
“Permohonan representasi itu antara lain bertujuan memohon agar pertuduhan ditarik balik, namun arahan yang diterima adalah supaya pendakwaan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Zulzarif Zakuan mengesahkan perkara yang dimaklumkan pihak pendakwaan.
“Pihak pembelaan mengesahkan apa yang telah dijelaskan oleh pihak pendakwaan sebentar tadi. Justeru itu, saya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh, tetapan paling singkat untuk pengurusan kes ini ditetapkan terlebih dahulu,” katanya.
Norizan kemudian menangguhkan prosiding berikutan ketidakhadiran peguam bela utama, Datuk Naran Singh.
Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan pengurusan kes.
Pada 8 September tahun lalu, Nurhaswani Afni didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














