fbpx
Antara nombor plat yang diubah suai sehingga mengelirukan pihak berkuasa.

MKJR sokong tindakan JPJ dakwa pemilik nombor plat ‘fancy’, mengelirukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menyokong penuh tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) menuduh pesalah-pesalah trafik yang mengubah suai dan mempamerkan nombor pendaftaran yang ekstrem dan mengelirukan.

Ahlinya, Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan berkata JPJ melakukan tindakan tepat untuk menyaman dan membawa pesalah yang melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000.

“Kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan dan ekstrem boleh menyebabkan timbul masalah kepada agensi penguatkuasa seperti pihak Polis Diraja Malaysia dan juga JPJ.

“Lebih-lebih lagi apabila pemandu dan pemilik kenderaan tersebut menggunakan kenderaan mereka untuk tujuan menyalahi undang-undang dan peraturan jalan raya,” katanya.

Tambah Lam Thye, banyak kejadian ragut dan pecah rumah tidak dapat diselesaikan kerana kesukaran pihak berkuasa untuk mengesan pelaku-pelaku yang melakukan jenayah kerana mereka menggunakan nombor pendaftaran yang mengelirukan.

“Semoga dengan tindakan tegas daripada JPJ ini akan memberi pengajaran kepada pengguna-pengguna yang tegar untuk lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 ke atas pemandu yang melakukan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang ekstrem dan mengelirukan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata penggunaan nombor ekstrem semakin berleluasa sehingga mengelirukan agensi penguat kuasa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI