LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz memperoleh keceriaan berganda ketika memacu Liverpool raih kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton di Anfield, kelmarin.
Jaringan kedua The Reds di hujung babak pertama tidak hanya memastikan tiga mata buat pasukan, malah menamatkan penantiannya untuk melakar gol sulung bersama pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Perasaan berada di dalam padang cukup mengujakan khususnya apabila ada penyokong di sekeliling. Saya cukup yakin mampu jaringkan gol, namun inilah situasi yang saya perlu lalui.
“Saya tahu jaringan pasti akan hadir dan saya hanya perlu terus lakukan tugas saya seperti ini. Kami bermain dengan baik sepanjang babak pertama, namun dalam tempoh 20 mini terakhir, kami berdepan kesukaran.
“Saya tidak mampu untuk jelaskan sebabnya, tetapi kami perlu berubah. Di sebalik kesukaran, kami tetap melakukan tugas dengan baik untuk memastikan mata penting buat pasukan,” katanya.
Liverpool kini kekal dengan rekod bersih tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir di semua pertandingan dan pengurus pasukan, Arne Slot jelas gembira dengan sumbangan dimainkan oleh Wirtz.
“Pasukan sudah lihat apa yang dia lakukan, mencipta peluang dan berada hampir dengan gawang lawan. Dia akan jaringkan lebih banyak gol dan kali ini Florian lakukan tugasnya dengan sempurna, melebihi daripada satu jaringan dihasilkannya,” kata Slot. – AGENSI














