DARI kiri, Mohd. Yusof dan Musa menyampaikan skrol kepada para graduan TVETec Malaysia.

TVETec Malaysia iktiraf individu berkemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin mendapat tempat dan menjadi pilihan untuk seseorang itu menguasai sesuatu kemahiran.

Begitu juga buat Afiqah Nadiah Zubir yang melihat potensi besar untuk menjana pendapatan melalui bidang TVET.

Oleh yang demikian, wanita 33 tahun itu mengambil keputusan untuk mendalami bidang penjagaan ibu bersalin di sebuah akademi swasta.

Melalui kemahiran yang ada, pada 2017 dia mengusahakan perniagaan sendiri berkonsepkan mobile spa dan home spa di bawah jenama D’Qaturah Spa & Confinement Care.

“Meskipun telah mempunyai perniagaan sendiri, saya merasakan perlu meningkatkan nilai kemahiran saya dengan satu pengiktirafan.

“Saya kemudian mengambil keputusan untuk mengikuti program di Pertubuhan TVETec Malaysia selama setahun dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga dalam bidang urutan terap dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang penjagaan ibu bersalin,” jelasnya.

Usahanya itu membolehkan Afiqah Nadiah menjadi salah seorang individu yang diraikan dalam majlis Konvokesyen Kemahiran, Keusahawanan, Sukarelawan, TVETec Malaysia yang diadakan di

Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

TVETec Malaysia merupakan satu pertubuhan yang memperkasakan pendidikan TVET berteraskan kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara TVETec Malaysia dengan rakan strategik industri dan komuniti.

Dalam pada itu, Pengarah TVETec Malaysia, Mejar (B) Mohd. Yusof Zainuddin berkata, seramai 260 individu daripada pelbagai latar belakang telah menerima pengiktirafan dalam majlis tersebut.

TVETec Malaysia memperkasakan pendidikan TVET berteras kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan.

Menurutnya, di bawah TVETec Malaysia mereka mahu semua individu yang mempunyai kemahiran di negara ini tidak kira latar belakang dan taraf akademik untuk menerima pengiktirafan sewajarnya.

“Kita memberi pengiktirafan untuk individu yang terlibat dengan kemahiran, keusahawanan dan sukarelawan.

“Malah, kita menyediakan platform dan program berkaitan supaya mereka menerima pengiktirafan atau pensijilan secara formal dan ini sekali gus bidang TVET di negara dapat diperkasakan lagi,” terangnya.

Sebagai contoh seorang peniaga makanan yang hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi mempunyai lima rangkaian kedai makan dan pendapatan lebih RM20,000 sebulan.

Jadi TVETec Malaysia menyantuninya dengan memberikan pengiktirafan kepadanya sebagai usahawan.

“Begitu juga mereka yang terlibat dalam bidang kesukarelawanan.

“Mereka boleh datang kepada kita, kita akan bimbing dan memberikan pengiktirafan kepada mereka,” kata Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, Pengerusi TVETec Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, TVETec Malaysia menjadi platform peringkat nasional untuk mengiktiraf individu yang memiliki kemahiran.

“Di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) peserta memperoleh sijil kemahiran, namun di peringkat nasional tiada satu platform yang mengiktiraf mereka seperti konvokesyen universiti yang meraikan pencapaian pelajarnya.

“Oleh itu, kita hadir dengan satu idea untuk mengiktiraf mereka di dalam bidang TVET dengan majlis konvokesyen ini,” terangnya.

Tambah beliau, mereka yang berkonvokesyen pada majlis tersebut kemudian akan menjadi alumni TVETec Malaysia.

Alumni ini seterusnya akan menjadi satu lagi platform untuk mereka membina jaringan strategik dengan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN