fbpx
SK Kuala Perlis berjaya merangkul tempat ke-4 Pertandingan AIA Healthiest School peringkat kebangsaan untuk membawa pulang hadiah bernilai AS$7,500 (RM30,645).

Daripada kebajikan ke pentas dunia: Sekolah PROMAK BERNAS menyerlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA sebagai inisiatif kebajikan yang menyediakan makan tengah hari percuma, Program Makanan Kesihatan (PROMAK) kini menjadi sebahagian daripada ekosistem sokongan di sekolah rendah apabila semakin banyak sekolah penerima mencatat pencapaian membanggakan hingga ke peringkat antarabangsa.

Dilaksanakan sejak Januari 2022, PROMAK tajaan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memberi manfaat kepada lebih 20,000 murid daripada keluarga B40 dan berpendapatan rendah di 97 sekolah rendah terpilih di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Walaupun kejayaan murid dige­rakkan oleh usaha guru, sokongan ibu bapa dan kesungguhan murid sendiri, pihak sekolah mengakui kehadiran PROMAK membantu memastikan kebajikan asas murid terpelihara, sekali gus membolehkan mereka mengikuti pembelajaran dan aktiviti sekolah dengan lebih konsisten.

SK Kuala Perlis: Fokus terjaga, potensi dikembangkan

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis, Mazlan Abu Bakar berkata, seramai 570 murid di sekolah berkenaan menerima manfaat PROMAK sejak 2022, terutamanya murid daripada komuniti nelayan dan keluarga berpendapatan rendah.

“Selepas PROMAK dilaksanakan, kehadiran murid lebih konsisten, tumpuan dalam kelas bertambah baik dan penglibatan dalam aktiviti akademik serta kokurikulum semakin aktif.

“Murid jelas kelihatan lebih bertenaga dan mampu mengikuti aktiviti sepanjang hari, termasuk latihan STEM yang kadangkala berlanjutan hingga lewat petang,” katanya.

Ikon Dikir Barat: SK Benting Lintang dinobatkan sebagai juara di Pertandingan Dikir Barat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, SK Kuala Per­lis mencatat pelbagai kejayaan termasuk dinobatkan sebagai pemenang Highly Commended dalam Pertandingan AIA Healthiest School Peringkat Kebangsaan 2024.

Pencapaian itu diteruskan pada tahun ini apabila sekolah tersebut berjaya meraih tempat keempat dalam pertandingan yang sama untuk membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai AS$7,500 (RM30,645).

“Dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), pasukan sekolah turut muncul Johan Pertandingan Digital Storytelling Animation (DSTA) selama dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025,” katanya.

SK Seberang Tayor:PROMAK ringankan beban, murid lebih bersedia

Di Terengganu, Guru Besar SK Seberang Tayor, Kemaman, Wan Ja’afar Wan Muda berkata, PROMAK memberi manfaat kepada 201 murid di sekolah berkenaan, melibatkan hampir keseluruhan murid kecuali prasekolah.

Menurutnya, selain membantu murid mendapatkan makanan te­ngah hari yang lengkap dan berkhasiat, program tersebut turut meringankan beban kewa­ngan ibu bapa.

“Jika ada Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) atau aktiviti kokurikulum, ibu bapa tidak perlu lagi memikirkan soal wang makan te­ngah hari.

“Menu disediakan lengkap, sihat dan tidak mengandungi gula berlebihan, membantu kesihatan murid serta penjimatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata, warga SK Seberang Tayor turut mencatat pelbagai kejayaan membanggakan termasuk Johan Peringkat Negeri bagi Inovasi 3R (reuse, reduce dan recycle), Kutipan Plastik Tertinggi dan Guru Inspirasi 3R.

Selain itu, guru di sekolah berkenaan , Nor Halimah Sa’diah Awang@Abdullah turut dinobatkan sebagai Johan Guru Inspirasi 3R Peringkat Kebangsaan, manakala muridnya, Aisyah Umairah Ali Hasan telah menerima hadiah saguhati Pertandingan Konten Krea­tif Piala Nadim 2025.

Murid SK Benting Lintang menunjukkan sijil kemenangan mereka di pertandingan Kangaroo Math Competition Peringkat Kebangsaan.

SK Beting Lintang: Keyakinan murid terus meningkat

Sementara itu, Guru Besar SK Beting Lintang, Besut, Engku Rohani Engku Ismail berkata, sekolahnya terpilih melaksanakan PROMAK bermula Ogos 2022 meli­batkan 255 murid.

Menurutnya, selain membantu menangani isu kurang berat badan dan bantut, PROMAK memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi dan keyakinan murid.

“Pemantauan melalui SEGAK menunjukkan perkembangan fizikal yang lebih baik dalam kala­ngan murid penerima.

“Yang lebih ketara, murid lebih yakin untuk menyertai aktiviti akademik, sukan dan kesenian,” katanya.

Antara kejayaan sekolah itu termasuk Kumpulan Alunan Suara Muda Sebintang SK Beting Lintang yang muncul juara Pertandingan Dikir Barat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan diiktiraf sebagai Ikon Dikir Barat.

Dalam pencapaian antarabangsa pula, murid Tahun 5, Wan Nur Alya Wan Zulkurnain bersama lima murid lain meraih Gold Award for Best Presenter dalam Global Eco Schools Initiative Exchange Webinar 2025.

Manakala dalam Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan, sembilan murid membawa pulang tujuh Anugerah Perak dan dua Anugerah Gangsa tahun ini.

Di bawah kepimpinan Engku Rohani, SK Beting Lintang turut menerima Anugerah Nyala Lonjakan Kategori Sekolah Rendah sempena Majlis Nyala Reformasi Pendidikan pada November lalu.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN