UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melahirkan ramai mahasiswa berbakat besar dalam pelbagai bidang.
Salah seorang daripadanya ialah Alif Mursaliddin Mohd. Zuki atau lebih mesra dikenali sebagai Alep, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi dan Dakwah yang aktif dalam dunia pengacaraan, muzik serta kepimpinan mahasiswa.
Menurutnya, minat terhadap bidang pengacaraan mula berkembang sejak di bangku sekolah menengah lagi.
Ketika itu, dia aktif menyertai pertandingan pidato dan syarahan yang sedikit demi sedikit membentuk keyakinannya untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.
“Setelah melanjutkan pengajian di UniSZA, bakat tersebut semakin berkembang apabila saya sering diberikan peluang menjadi pengacara dalam pelbagai program dan majlis rasmi mahupun santai.
“Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, pensyarah dan staf UniSZA banyak membantu saya menjadi lebih yakin dalam bidang pengacaraan,” katanya kepada K-Kampus.
Antara pengalaman paling bermakna buat dirinya apabila diberi peluang mengendalikan majlis yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika kunjungannya ke UniSZA.
Meskipun kelihatan tenang ketika mengendalikan majlis, Alep mengakui cabaran terbesar sebagai seorang pengacara tidak lain tidak bukan perasaan gugup apabila berdiri di hadapan orang ramai.
Namun bagi Alep, rasa gugup itu sebenarnya membantu dirinya untuk lebih berhati-hati dan teliti ketika bertugas.
Tidak sekadar aktif sebagai pengacara majlis, anak sulung daripada lima beradik kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga berbakat besar dalam bidang muzik.
Dia mahir bermain beberapa alat muzik seperti gitar, drum dan keyboard, namun gitar merupakan instrumen utama yang paling dekat dengan dirinya.

Jelasnya, minat terhadap muzik mula lahir sejak kecil lagi apabila dia gemar mencipta melodi dan berangan menghasilkan muzik sendiri ketika masa lapang.
Akuinya, perjalanan untuk menguasai gitar bukanlah mudah kerana dia perlu belajar sendiri tanpa guru.
Namun, dengan minat dan usaha yang tinggi, Alep terus berlatih sehingga berjaya membuat persembahan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di hadapan barisan menteri.
Baginya, pengalaman tersebut menjadi antara pencapaian yang amat membanggakan buat dirinya.
Walaupun tergolong dalam generasi muda, Alep mengakui dirinya amat meminati lagu-lagu rock 90-an.
Antara kumpulan muzik kegemarannya adalah Wings dan Spring yang sering menjadi inspirasi dalam persembahannya.
Dia turut menghargai tunjuk ajar daripada mentornya (Encik Din) yang merupakan ahli kumpulan Panji dan banyak membantu dirinya serta kumpulan yang diwakilinya iaitu Mahameru untuk menjadi lebih profesional di atas pentas.
Berkongsi pengalaman manis sepanjang bergiat aktif sebagai pengacara majlis dan pemuzik, Alep mengakui pernah berdepan situasi lucu apabila kehilangan teks pengacaraan ketika sedang mengendalikan majlis.
Namun, dia berjaya mengawal keadaan dengan bercakap secara spontan menggunakan ayat sendiri.

Dalam dunia muzik pula, dia paling menghargai momen kebersamaan bersama ahli kumpulan sebelum persembahan bermula apabila masing-masing saling memberi semangat bagi menghilangkan rasa gugup.
Selain aktif dalam bidang seni, Alep juga bergiat aktif dalam kepimpinan mahasiswa.
Dia merupakan ahli Persatuan Mahasiswa Antropologi & Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial Gunaan.
Pengalaman tersebut banyak mengajar dirinya tentang cara mengurus dan menganjurkan program dengan lebih tersusun serta profesional.
Mengakhiri perkongsian, Alep berharap dirinya akan terus memperbaiki kemahiran dalam bidang pengacaraan dan muzik tanpa melupakan tanggungjawab sebagai pelajar.
Dia juga bercita-cita untuk menjadi pengacara majlis berprofil tinggi serta terus aktif dalam bidang muzik pada masa hadapan.














