MENYERTAI aktiviti kokurikulum sering dianggap sekadar memenuhi syarat merit kolej kediaman.
Namun, bagi pelajar Bacelor Sains Perhutanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), On Xin Yue, 23, pengalaman itu akhirnya menjadi platform membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan daya tahan yang tidak diperoleh sepenuhnya di dalam bilik kuliah.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor yang berdarah campuran Sarawak daripada sebelah ibunya itu mengakui penglibatannya dalam program pelajar bermula kerana mahu mengumpul merit ketika tahun pertama pengajian.
“Pada mulanya saya sertai program untuk mendapatkan merit supaya dapat terus tinggal di kolej.
“Kemudian selepas beberapa aktiviti saya mula seronok bekerja dalam satu pasukan, menyelesaikan masalah bersama dan meraikan kejayaan bersama rakan-rakan. Sejak itu saya terus aktif,” katanya kepada K-Kampus.
Menurut Xin Yue, setiap program yang disertai menjadi medan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan secara spontan serta menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran.
“Ilmu sentiasa berkembang dan kita juga perlu sentiasa menyesuaikan diri.
“Melalui aktiviti ini semua, saya belajar menjadi seorang pelajar yang lebih fleksibel apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, minat terhadap bidang perhutanan pula lahir sejak kecil apabila keluarganya sering membawanya mendaki bukit dan berkhemah di hutan.
“Selepas saya menamatkan Diploma Perhutanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), saya memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang sama di UPM Serdang.
“Ini kerana saya mahu memahami dengan lebih mendalam kepentingan ekosistem dan pemuliharaan alam sekitar.
“Alam semula jadi ialah ciptaan Tuhan dan apabila belajar perhutanan, saya semakin menghargai bagaimana setiap komponen alam saling berkait.

“Saya percaya menjaga alam sekitar bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau agensi tertentu, tetapi tanggungjawab semua masyarakat,” tuturnya.
Di sebalik kesibukan menganjurkan program, Xin Yue tetap meletakkan akademik sebagai keutamaan.
Dia menegaskan tidak pernah mengorbankan waktu kuliah atau aktiviti akademik penting walaupun berdepan pertindihan jadual program.
“Saya mungkin memegang tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa program, tetapi saya datang ke universiti untuk belajar.
“Sebab itu saya tidak akan ponteng kelas penting semata-mata untuk menghadiri program,” katanya.
Bagi memastikan segala komitmen dapat diurus dengan baik, Xin Yue mengamalkan rutin menulis diari setiap malam bagi menyusun semula tugasan dan menilai perkembangan dirinya.
Ketika berdepan tekanan, bola tampar menjadi aktiviti yang membantunya mengembalikan fokus, selain sokongan rakan-rakan yang sentiasa memberi motivasi.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam kehidupan kampus turut dipengaruhi sekumpulan rakan yang dikenalinya ketika menetap di Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), UPM, pada tahun pertama pengajian.
Semangat mereka menganjurkan program dan membantu antara satu sama lain menjadi pemangkin untuk dia terus aktif hingga kini.
Mengakhiri perkongsian, Xin Yue berharap lebih ramai mahasiswa berani melibatkan diri dalam aktiviti kampus tanpa mengabaikan tanggungjawab akademik.
“Kenal pasti keutamaan apabila berdepan cabaran, cari cara yang sihat untuk mengurus tekanan dan jangan takut mencuba perkara baharu.
“Aktiviti kampus bukan sahaja membina pengalaman, tetapi turut membentuk kemahiran dan nilai yang berguna selepas tamat pengajian kelak,” katanya.














