UNIVERSITI MALAYA (UM) sekali lagi berjaya membuktikan bahawa gandingan serasi antara kreativiti mahasiswa moden dan sokongan institusi mampu mengangkat semula martabat seni warisan tradisional ke pentas tertinggi.
Itulah yang dapat disimpulkan apabila berlakunya kemuncak Malam Juara-Juara Festival Seni Universiti Malaya (Feseni) 2026 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Tunku Canselor, UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pentas berprestij itu menjadi saksi bagaimana sekumpulan anak muda moden mampu membawa pementasan seni boria sehingga memukau ratusan penonton kampus.
Pertandingan itu melibatkan persaingan antara kolej-kolej kediaman dalam mempersembahkan pelbagai bentuk seni.
Menerusi satu kenyataan, penganjuran festival baru-baru ini bukan sekadar sebuah pentas pertandingan, sebaliknya menjadi bukti nyata bagaimana seni tradisional seperti boria tidak lagi dipandang sebagai satu khazanah lapuk yang hanya layak disimpan dalam sejarah.
Tanda dedikasi yang tinggi anak muda dalam memartabatkan seni tradisi, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin (Kolej Kediaman Ke-9 atau KK9) bukan sahaja muncul sebagai Juara Keseluruhan Feseni 2026, malah kumpulan boria mereka, Boria Sri 9B berjaya menyapu bersih anugerah Johan Persembahan Boria, Sketsa Terbaik dan Lirik Terbaik.
Menurut Pengetua KK9, Deputi Superintendan/Kor SUKSIS Mohd. Hairolnezam Kahmis, persembahan cemerlang mahasiswa ini memadamkan tanggapan kononnya anak muda zaman sekarang sudah melupakan budaya asal usul mereka.
“Boria dengan KK9 memang tidak dapat dipisahkan lagi sejak sekian lama. Apa yang dipamerkan oleh para pelajar pada tahun ini menjelaskan bahawa seni warisan bangsa ini tidak akan pernah pupus.
“Ia boleh menjadi sangat bertenaga, kompetitif, dan penuh warna-warni apabila digerakkan sendiri oleh generasi baharu yang mahu melihat budaya mereka terus subur,” katanya.

Jelasnya, pementasan boria yang baik bukanlah tugas mudah kerana ia memerlukan keserasian yang sangat tinggi antara elemen sketsa, nyanyian dan juga tarian.
Bagi memastikan pengisian boria itu benar-benar relevan dan isinya ‘sampai’ ke dalam hati penonton muda, gandingan bersama golongan alumni kolej yang bertindak sebagai jurulatih juga menjadi pemacu utama.
“Dalam persembahan boria, kita ada dua bahagian utama iaitu sketsa dan bahagian persembahan nyanyian serta tarian. Bahagian sketsa ini kalau tidak diurus dengan betul atau pelakonnya gagal menjiwai watak, maksud atau pengajaran di sebalik boria itu tidak akan sampai kepada penonton.
“Sebab itu penglibatan alumni yang dahulunya merupakan bekas peserta boria amat kritikal. Mereka datang bantu melontarkan idea skrip dan bimbingan setiap malam supaya mesej yang hendak disampaikan itu benar-benar masuk ke hati juri dan penonton,” jelas beliau yang telah berkhidmat selama 23 tahun di UM.
Sementara itu, bagi peserta boria yang juga Presiden Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman KK9, Aiman Ibrahim, 23, pengalamannya memperjuangkan seni warisan tersebut sepanjang empat tahun menetap di kolej telah memberi satu dimensi baharu dalam kehidupan kampusnya.
Penuntut tahun keempat kursus Sains dengan Pendidikan (Biologi) yang berasal dari Johor ini mengakui, bukan mudah untuk mengemudi sebuah pasukan besar yang dianggotai seramai 45 orang mahasiswa dari pelbagai latar belakang fakulti.
“Kami mempertaruhkan dua kumpulan pada edisi kali ini. Bagi kumpulan Boria Sri 9B yang dinobatkan sebagai juara, kami membawakan tema ‘Tiada Yang Lama, Tiada Yang Baharu’, manakala sebuah lagi kumpulan mengangkat tema ‘Boria Seni Warisan’.
“Kedua-dua naskhah penuh nasihat ini mendapat sentuhan kreatif daripada jurulatih kami,” katanya.
Di sebalik kejayaan manis di hadapan hampir ratusan penonton yang memenuhkan dewan, Aiman mendedahkan momentum tersebut menuntut pengorbanan yang sangat besar daripada barisan pemain.
Malah, bagi memastikan setiap gerak tari dan vokal kekal bertenaga pada tempo lagu yang laju mencecah 135 denyutan seminit (bpm), mereka perlu melalui fasa latihan intensif setiap malam bermula pukul 9 malam sehinggalah ke lewat subuh.
“Tarian boria ini memerlukan fizikal yang kuat. Berada di atas pentas selama tujuh minit itu bagaikan kami sedang melakukan larian pecut tanpa henti.
“Sebab itu, aspek ketelitian sangat ketat bermula daripada stamina, keseragaman hayunan tangan, kaki, sehinggalah ke harmoni suara vokal. Kami telah melakukan latihan ini sejak penghujung tahun lalu demi memastikan segalanya sempurna,” jelasnya.
Menariknya, kekangan waktu latihan sehingga awal pagi tidak pernah dijadikan alasan oleh para siswa ini untuk mengabaikan tanggungjawab akademik mereka.
Menurut Aiman, di gelanggang latihan itulah menjadi saksi bagaimana para pelajar membahagikan masa dengan membuka komputer riba untuk menyiapkan tugasan universiti bersama-sama ketika waktu rehat.
“Zaman sekarang, segulung ijazah sahaja tidak mencukupi dan aktiviti kesenian sebegini adalah platform terbaik untuk membina karakter diri serta mengasah bakat sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Segala kesusahan latihan selama tujuh bulan, akhirnya terbayar dengan kemanisan persembahan selama tujuh minit di atas pentas. Melihat sorakan gemuruh dan ekspresi wajah penonton yang gembira merupakan kenangan paling manis sepanjang bergelar mahasiswa,” ujarnya penuh bangga.
Secara keseluruhannya, komitmen kumpulan Boria Sri 9B dan juga peserta lain membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam festival budaya seperti Feseni 2026 berjaya menjadi satu kejayaan kreatif yang menghidupkan semula roh kesenian tradisional bangsa.
Warisan boria terbukti subur, bertenaga, dan menemui nafas baharu yang cukup megah di tangan generasi muda kampus hari ini.














