WASHINGTON – Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengejar sebuah lagi kapal tangki yang dikenakan sekatan semalam, kata seorang pegawai kepada AFP ketika Washington meningkatkan kempen menyasarkan sektor minyak Venezuela.
‘Pemburuan aktif’ di Laut Caribbean itu berlaku sehari selepas Pengawal Pantai merampas kapal tangki kedua di luar pantai Venezuela dalam tempoh dua minggu.
Presiden Donald Trump pada 16 Disember lalu mengumumkan sekatan ke atas kapal minyak tertentu yang belayar keluar dan memasuki Venezuela. Trump juga menuntut Caracas memulangkan aset milik Amerika Syarikat yang dicurinya.
“Pengawal Pantai AS giat mengejar sebuah kapal yang merupakan sebahagian daripada percubaan mengelak sekatan secara haram oleh Venezuela.
“Kapal ini mengibarkan bendera palsu dan berada di bawah perintah rampasan Washington,” kata pegawai berkenaan.
Laporan media mengenal pasti kapal terlibat sebagai Bella 1. Ia merupakan kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan oleh AS sejak 2024 kerana didakwa mempunyai hubungan dengan Iran dan Hizbollah.
Menurut laman pemantau penghantaran dan penyimpanan minyak, TankerTrackers, kapal itu sedang dalam perjalanan ke Venezuela tetapi tidak membawa kargo.
Pasukan AS menghampiri kapal itu lewat kelmarin, tetapi ia tidak mematuhi arahan untuk membenarkan anggota-anggota keselamatan AS memasukinya dan meneruskan pelayaran, lapor akhbar New York Times.
Kelmarin Pengawal Pantai AS merampas Centuries, yang menurut TankerTrackers, merupakan kapal tangki milik China yang mengibarkan bendera Panama. – AFP














