MADRID – Penumpang sebuah pesawat EasyJet berdepan detik cemas apabila mayat seorang warga emas dibawa masuk oleh ahli keluarganya yang mendakwa wanita tersebut sedang tidur, lapor akhbar Metro UK.
Beberapa saksi berkata, keluarga dari Britain yang terdiri daripada lima orang itu membawa masuk wanita berusia 89 tahun menaiki penerbangan dari Sepanyol ke Lapangan Terbang Gatwick.
“Keluarga tersebut memberitahu kru sebelum menaiki pesawat bahawa warga emas itu tidak sihat dan tertidur.
“Pesawat itu berpatah balik sebelum sempat berlepas apabila kru memaklumkan bahawa wanita tersebut meninggal dunia, menyebabkan kami mengalami kelewatan selama 12 jam,” kata beberapa saksi.
Bagaimanapun, jurucakap syarikat penerbangan EasyJet berkata, penumpang tersebut dibenarkan terbang kerana mempunyai sijil perubatan dan dibantu oleh kakitangan perubatan sepanjang perjalanannya.
“Penumpang itu meninggal dunia selepas menaiki pesawat,” katanya.
Tidak dijelaskan apa yang berlaku kepada ahli keluarga mendiang selepas mayatnya dikeluarkan dari pesawat, namun tiada tangkapan dibuat. – AGENSI














