PETALING JAYA – Aksi cemas seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dan terperangkap selepas papan penutup longkang patah berdekatan bangunan Balai Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini menarik perhatian ramai.
Menerusi perkongsian oleh Azza Ynwa di Facebook, dia sedang menghantar pesanan di Jalan Gurney, Datuk Keramat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis di kawasan berhampiran.
“Cari punya cari, terjumpa budak lelaki di dalam longkang dalam. Adik ini terjatuh ke dalam longkang hampir setengah jam akibat papan yang menutup lubang longkang patah. Allahuakbar, nasib baik tidak hujan. Terpaksa menahan orang yang lalu untuk menolong. Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dia memohon pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera menutup lubang longkang tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial dan rata-rata mereka memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau dan longkang dengan lebih serius.
“Ini bukan pertama kali kejadian sebegini saya dengar berlaku. Yang ini nasib baik abang bantu,” kata Nurul Hanis.
“Harap pihak DBKL ambil berat hal penyelenggaraan kemudahan awam seluruh Kuala Lumpur setiap masa. Bukan bila Kuala Lumpur jadi tuan rumah untuk acara berkenaan sahaja,” kata Ruslan Kasim.
“Nasib baik air tidak laju dan tidak hujan lebat. Saya risau tengok budak itu duduk dalam tu,” kata Rozanariza. – KOSMO! ONLINE














