PHNOM PENH – Kemboja menyatakan bahawa tentera Thai mengebom bandar kasino Poipet yang menjadi lintasan utama antara kedua-dua negara, ketika kuasa-kuasa asing memberi tekanan kepada Bangkok dan Phnom Penh supaya menghentikan pertempuran sempadan yang kembali sengit.
Kementerian pertahanan Kemboja berkata, tentera Thailand menggugurkan dua bom di kawasan Perbandaran Poipet, wilayah Banteay Meanchey sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan), hari ini.
Thailand bagaimanapun masih belum mengesahkan sebarang serangan ke atas Poipet. Bandar itu merupakan hab kasino yang sibuk dan popular dalam kalangan kaki judi Thailand.
Sekurang-kurangnya empat kasino di Kemboja rosak akibat serangan Thailand, kata Kementerian Dalam Negeri Kemboja, minggu ini.
Pertempuran yang tercetus kembali antara dua negara jiran di Asia Tenggara itu pada bulan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang di Thailand dan 17 lagi di Kemboja, manakala kira-kira 800,000 orang di kedua-dua negara hilang tempat tinggal.
Pada Selasa lepas, Thailand menyatakan, antara 5,000 hingga 6,000 rakyatnya masih terperangkap di Poipet selepas Kemboja menutup lintasan sempadan darat dengan negara jiran itu. – AFP














