KOTA BHARU – Nasken Coffee terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pematuhan piawaian Halalan Toyyiban apabila 17 cawangannya kini memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn. Bhd., Mohd. Nazif Ab. Aziz berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan kesungguhan syarikat untuk menawarkan bukan sahaja kopi dan hidangan berkualiti, malah memastikan setiap premis beroperasi mengikut keperluan pensijilan halal.
“Komitmen kami di Nasken Coffee sentiasa jelas, bukan sahaja memberikan pengalaman kopi dan hidangan yang premium, malah memastikan setiap cawangan kami mematuhi standard 100 peratus Halalan Toyyiban yang diiktiraf demi kesucian serta jaminan untuk para pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sijil halal kepada Nasken Coffee yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di cawangan Nasken Coffee Pasir Tumboh, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd. Asri Mat Daud.
Mohd. Nazef menerangkan, pensijilan halal yang diterima melibatkan operasi premis Nasken Coffee merangkumi kilang, gudang penyimpanan serta kenderaan logistik syarikat bagi memastikan keseluruhan rantaian operasi mematuhi piawaian ditetapkan.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, pemerkasaan pensijilan halal menjadi antara agenda utama kerajaan negeri selepas penubuhan Majlis Pembangunan Halal Negeri Kelantan.
Katanya, antara fokus utama tahun ini ialah meningkatkan jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain menyasarkan setiap permohonan yang lengkap dapat diproses dalam tempoh 30 hari.
“Kalau semua syarat dipenuhi, kita sasarkan permohonan diselesaikan dalam tempoh 30 hari. Kelewatan biasanya berpunca daripada premis yang masih perlu membuat penambahbaikan sebelum layak menerima sijil halal,” katanya.














