PETALING JAYA – “Kalau rumah hancur, kita boleh bina semula. Tapi kalau lumpur tebal macam ni, nak bersihkan pun lebih susah.”
Itu luahan seorang mangsa banjir di Aceh yang terpaksa akur apabila kediaman dan harta bendanya termasuk tiga motosikal dan sebuah kereta ditenggelami lumpur setinggi dua meter.
Menerusi hantaran oleh seorang pempengaruh terkenal Indonesia, @Vilmei di TikTok, mangsa tersebut menjelaskan bahawa dia tidak bernasib baik dalam kejadian banjir yang terkini kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda disebabkan air naik terlalu cepat pada waktu malam.
“Kami terus kejut anak-anak dan selamatkan diri. Masa bangun, dah tak sempat nak selamatkan apa-apa lagi,” katanya.
Tambahnya, walaupun dibantu oleh lima orang dewasa, mereka tetap gagal mengangkat kenderaan yang tenggelam kerana lumpur terlalu tebal dan tinggi.
Mangsa berkata, dia terpaksa mengupah individu bagi membantu kerja-kerja pembersihan kerana tiada bantuan jentera berat disalurkan ke kawasan terjejas.
“Kami harap sangat ada bantuan supaya boleh tarik kenderaan, bersihkan lumpur. Guna tangan memang tak boleh,” katanya lagi.
Menurut Vilmei, inisiatif kutipan dana telah dibuka bagi membantu penduduk terjejas dan wanita itu menyeru orang ramai untuk menyumbang walau sekecil RM10 kerana ia amat bermakna buat mangsa.
Terdahulu, banjir besar melanda Aceh sejak akhir November 2025 dan kawasan paling terjejas termasuk Aceh Tamiang, Aceh Utara, dan Aceh Timur, yang mana ribuan rumah musnah, jalan raya lumpuh, dan lebih 500,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Pembersihan lumpur dan pemulihan jangka panjang dijangka memakan masa yang lama, sementara krisis kesihatan seperti wabak penyakit dan kebuluran turut menjadi cabaran utama pasca banjir.- KOSMO! ONLINE
@vilmeijugalink donasi ada di bio aku …














