fbpx
KETUA Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend dan peguam antarabangsa yang dilantik, Serge Vittoz menjadi sandaran FAM untuk membuat alasan penuh sebelum dihantar ke CAS nanti.

Debaran tunggu ‘catur’ terakhir FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS lebih dua bulan bergelumang dengan isu menggegarkan arena sukan tanah air, konflik melibatkan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memasuki episod baharu.

Ia susulan keputusan muktamad badan induk bola sepak negara itu untuk menggunakan talian hayat terakhir mengheret kes FIFA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk dihakimi dalam persidangan panjang dijangka bermula tahun depan.

Buat masa ini, FAM mengesahkan, menerusi peguam yang dilantik sedang berusaha untuk menyiapkan alasan penuh secara bertulis dalam tempoh 10 hari sebelum diserahkan kepada CAS.

Apakah intipati alasan penuh bertulis yang bakal diberikan oleh FAM nanti bakal menjadi persoalan memandangkan alasan penuh (motivated decision) yang dikeluarkan dua kali oleh FIFA sebelum ini sudah menjelaskan punca hukuman itu diberikan.

FIFA selaku badan induk bola sepak dunia dilihat cukup bersedia dalam menyediakan bukti selepas mengeluarkan motivated decision setebal 19 muka surat pada Oktober lalu menerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Kemudian angka itu meningkat lebih tiga kali ganda menjadi 63 muka surat ketika keputusan rayuan dikeluarkan awal bulan November lepas hingga dianggap ‘melondehkan’ reputasi FAM khususnya di peringkat tempatan.

Namun, FAM percaya keputusan untuk membawa kes FIFA ke CAS sangat penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain berdarah warisan yang ditetapkan pihak kerajaan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim menyeru semua pihak bertenang dan menunggu sahaja ‘senjata’ terakhir bakal dikeluarkan oleh FAM dalam misi memulihkan semula maruah yang tercalar.

“Saya harap semua percaya dengan kebolehan FAM dalam menganani krisis ini kerana kita tidak tahu apa bukti atau dokumen yang FAM ada untuk mereka buktikan kepada CAS.

“Mungkin apa yang mereka miliki itu diyakini boleh membantu untuk setidaknya mengurangkan hukuman dikenakan FIFA baru-baru ini.

“Malah, mereka juga telah melantik peguam bertaraf antarabangsa sebelum ini dan kita percaya dia ada kaliber untuk membantu pulihkan reputasi FAM.

“Apa yang pasti, tindakan FAM menggunakan talian hayat terakhir tidak salah walaupun ada kemungkinan besar keputusan tidak memihak kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) percaya peluang untuk keputusan berpihak kepada FAM juga agak cerah kerana CAS merupakan badan bebas yang tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi.

Selain itu, Zulakbal melihat rekod FAM yang sangat bersih tanpa sebarang isu besar sebelum ini juga wajar diambil kira memandangkan apa yang berlaku adalah kesalahan kali pertama di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini dihukum denda CHF350,000 (RM1.8 juta) oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September, manakala tujuh pemain warisan negara dari Sepanyol, Argentina dan Brazil digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN