fbpx
Sebuah kenderaan terperosok di dalam runtuhan jalan di bandarTohoku, wilayah Aomori, Jepun semalam. – AFP

‘Kami duduk bawah meja kerana takut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegembiraan sekumpulan pelancong Malaysia melawat Jepun bertukar cemas apabila penginapan mereka di Sapporo, Hokkaido dilanda gempa bumi kuat hingga mencetuskan keadaan huru-hara dan mengaktifkan amaran tsunami semalam.

Gempa bermagnitud 7.6 di u­tara Jepun berhampiran wilayah Aomori itu berlaku pada pukul 11.15 malam.

Amira Syuhaida, 32, berkata, sebelum kejadian dia sempat turun ke kedai untuk membeli sarapan keesokan hari.

Ejen pelancongan itu berkata, sebaik balik ke bilik di tingkat enam hotel, amaran gempa dikeluarkan disusuli gegaran kuat dua minit kemudian.

“Saya nampak barang jatuh dan keadaan huru-hara dengan lampu mula berkelip-kelip disusuli jeritan dan orang berlari ke bawah.

“Kami duduk bawah meja kerana takut sebelum bersedia untuk turun. Gegaran selama seminit itu kemudian berhenti,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Amira, malam itu dia dan lima rakan tidur sambil memegang pasport dan barang berharga sebagai persediaan jika keadaan menjadi lebih buruk.

Tambahnya, ia merupakan pengalaman pertama berdepan gempa bumi walaupun telah menjadi ejen pelancong ke Jepun sejak tiga tahun lalu.

“Kami tiba Sabtu lalu dan dijadualkan pulang lusa (esok). Syukur semuanya selamat dan kami teruskan perjalanan se­perti biasa hari ini (semalam),” katanya.

seorang anggota penyelamat membersihkan kawasan bangunan yang terkesan akibat gempa bumi di Jepun semalam. – AFP

Nur Aidathur Aqmar Abdul Majid, 31, pula berkata, dia tidak menyangka lawatan kali pertama ke Jepun menjadi detik cemas dan mendebarkan dalam hidupnya.

“Saya cemas bila dengar bunyi siren kuat disusuli gegaran ketika berada di tingkat sembilan hotel di Asakusa, Tokyo.

“Pada mulanya saya dan suami ingatkan siren ambulans tetapi tidak lama kemudian katil mula bergoyang, barang berge­rak, tandas dan bangunan jadi senget. Ketika itulah kami sedar ia gempa bumi,” katanya.

Katanya, tanpa berlengah mereka segera capai apa sahaja yang sempat termasuk pasport dan wang sebelum turun ke lobi hotel.

“Kami pakai apa yang ada saja, pegang pasport dan duit, terus turun ke lobi. Di kaca televisyen sudah tertera amaran tsunami.

“Pihak hotel minta semua berkumpul di lobi. Selepas 20 minit apabila keadaan menjadi tenang, pihak hotel membenarkan tetamu naik semula ke bilik masing-masing,” katanya.

Nur Aidathur berkata dia tiba di Jepun pada 30 November lalu dan dijadualkan pulang ke Malaysia esok.

Semalam media melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera, namun tiada kerosakan besar berlaku selepas gempa bumi kuat menggegarkan utara Jepun dan mencetuskan gelombang tsunami sehingga 70 sentimeter.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa bumi meningkatkan kemungkinan gegaran serupa atau lebih besar dalam beberapa hari akan datang.

Mereka yang cedera termasuk seorang yang cedera parah di pulau utama utara Hokkaido.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN