SELEPAS dua edisi tidak dipertandingkan di Sukan SEA, skuad ragbi negara menggalas misi cukup besar untuk membawa pulang dua pingat, termasuk satu pingat emas di Thailand kali ini.
Presiden Ragbi Malaysia (MR), Amir Amri Mohamad berkata, percaya skuad tujuh sebelah (7s) lelaki memiliki kemampuan untuk mengulangi pencapaian edisi 2017 yang memenangi emas, manakala pasukan wanita diletakkan sasaran gangsa.
Meskipun menaruh sepenuh keyakinan dengan kemampuan pemain-pemain negara, namun Malaysia dijangka berdepan cabaran sukar daripada pasukan-pasukan seperti Thailand dan Singapura.
“Harapan kita untuk menyaksikan pasukan ragbi lelaki dan wanita memberikan persembahan terbaik di Bangkok nanti. Kita sudah menetapkan pingat emas untuk elaki dan gangsa wanita.
“Pasukan lelaki menampilkan aksi cukup baik di Colombo (Sri Lanka) sebelum ini. Thailand juga melakukan persiapan cukup baik selain memiliki permainan berkualiti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Sungai Buloh, Selangor semalam.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah pada edisi Kuala Lumpur 2017 selepas menang bergaya 22-7 menewaskan Singapura pada perlawanan akhir.
Sementara itu, Amri turut mengesahkan badan induk tersebut akan memberikan ganjaran seandainya berjaya membawa pulang pingat emas, namun masih merahsiakan jumlah insentif yang bakal diberikan.
“Pengorbanan pemain-pemain perlu diberikan penghargaan kerana sudah hampir dua tahun melakukan persiapan. MR akan menyediakan insentif kemenangan jika meraih pingat emas tetapi jumlah saya tidak mahu umumkan lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














