PENGENDALI skuad bawah 23 negara (B-23), Nafuzi Zain mengharapkan ada berita gembira dalam misi mendapatkan skuad penuh sebelum berlepas ke Thailand bagi mengharungi temasya Sukan SEA 2025 yang akan membuka tirai rasmi pada Sabtu ini.
Menurut Nafuzi, buat masa ini hampir tujuh pemain masih belum dapat melaporkan diri kerana komitmen bersama kelab, tetapi kemungkinan besar situasi berubah selepas berakhir saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) melibatkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Setakat ini, seramai tujuh (pemain) yang pasti (tidak berada dalam pasukan), tetapi pemain Selangor mungkin (dapat kembali bersama berdasarkan) perbincangan (selepas berakhir saingan ACC), tetapi pemain (lain) saya belum pasti lagi.
“Kami tahu ini bukan dalam kalendar FIFA dan kelab mempunyai hak tidak melepaskan pemain, namun harap pertimbangan dilepaskan pada perlawanan ini.
“Secara peribadi, kita terdesak untuk memulakan saingan Sukan SEA dengan langkah kanan kerana dua kejohanan kita gagal adalah berpunca daripada kekalahan pada perlawanan pertama dan semestinya kami memerlukan semua pemain terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, Sukan SEA 2025 adalah tugasan ketiga buat Nafuzi sejak membimbing skuad pelapis Harimau Malaya pada awal tahun ini selepas gagal mencapai sasaran pada saingan Piala ASEAN B-23 2025 dan Piala Asia B-23 2026 baru-baru ini.
Antara tonggak penting yang masih belum menyertai pasukan ketika ini seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney, Muhammad Abu Khalil, Haqimi Azim Rosli dan Aliff Izwan Yuslan.
Misi untuk memburu ‘ibu emas’ temasya berprestij Asia Tenggara itu sudah menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak sekian lama selepas kali terakhir bergelar juara pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.














