SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti secara menyeluruh pandangan termasuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan sama ada Sukan Malaysia (Sukma) perlu diteruskan atau ditangguhkan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, perkara iti dibuat menerusi perbahasan dan pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
Beliau berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin yang memberikan pandangan dengan mengambil kira tentang kos dan keadaan semasa sekarang.
“Bagaimanapun kita tunggu, adun-adun nanti berbahas dan beri pandangan mereka. Dari situ, insya-Allah kerajaan negeri akan meneliti dan melihat kepada keperluan sama ada kita nak tangguh atau nak teruskan.
“Sebab kita jangan salah tafsir , pandangan Tuanku tadi, maksudnya dalam titah tu memang disebut pandangan dan juga kewajaran sama ada nak teruskan atau nak tangguh,” katanya ketika ditemui selepas istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sultan Sharafudin berpandangan penganjuran Sukma Selangor wajar ditangguhkan susulan kos yang tinggi selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
Baginda bertitah, penangguhan itu juga dilihat sesuai sehingga krisis Asia Barat selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam disiapkan sepenuhnya.
Mohd. Najwan memaklumkan sebarang keputusan berhubung Sukma Selangor itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia merupakan acara sukan peringkat kebangsaan yang diputuskan secara bersama melibatkan kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan. -KOSMO!ONLINE














