KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini dengan cadangan memperluaskan fungsi Suruhanjaya serta menaikkan had nilaian kontrak tanpa kelulusan menteri kepada RM50 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bacaan kali kedua RUU itu akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
“Pindaan ini bertujuan memperkukuh keupayaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap serta selaras dengan keperluan semasa industri komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang.
“Kerajaan juga mahu memastikan aspek tadbir urus, kecekapan pentadbiran dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan Suruhanjaya terus diperkasakan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan naskhah RUU yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, pindaan Seksyen 45 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) mencadangkan had nilai kontrak yang boleh dimeterai Suruhanjaya tanpa kelulusan Menteri dan persetujuan Menteri Kewangan dinaikkan daripada RM5 juta kepada RM50 juta.
RUU itu turut mencadangkan pindaan terhadap komposisi keanggotaan Suruhanjaya dengan memperuntukkan pelantikan tiga wakil Kerajaan Persekutuan, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi sebagai anggota ex-officio.
Selain itu, bilangan maksimum anggota lantikan turut dicadangkan dinaikkan daripada lima kepada tujuh orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang komunikasi, perundangan, ekonomi serta perlindungan pengguna.
Tempoh pelantikan Pengerusi dan anggota pula ditetapkan selama dua tahun bagi setiap penggal serta boleh dilantik semula, namun tidak melebihi lima penggal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Dalam masa sama, RUU itu turut memperluaskan fungsi Suruhanjaya meliputi pembangunan dan kawal selia piawaian infrastruktur serta platform bagi menggalakkan saling kendali, selain mengawal selia piawaian keselamatan, integriti dan keutuhan aset maklumat serta rangkaian komunikasi. – KOSMO! ONLINE.















