fbpx
Amirudin ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Selangor gandakan stok beras 15,000 tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM- Kerajaan Selangor meningkatkan stok simpanan beras negeri sehingga tiga kali ganda kepada 15,000 tan sebagai langkah awal menghadapi ancaman krisis bekalan susulan ketidaktentuan global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil bagi memastikan negeri mempunyai bekalan beras mencukupi dengan kapasiti simpanan semasa ketika ini sebanyak 5,000 tan.

Menurutnya, jumlah berkenaan hanya mampu menampung keperluan dalam tempoh antara satu setengah hingga dua bulan.

“Manakala stok baharu sebanyak 15,000 tan ini mampu menampung keperluan sehingga lima hingga enam bulan.

“Selain beras, kerajaan negeri turut merancang untuk menambah stok makanan melibatkan sumber protein dan karbohidrat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) berhubung kesan perang di Iran kepada Selangor dari segi pembelanjaan kerajaan, projek kerajaan dan kelangsungan makanan.

Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan bahawa sektor logistik dan perkhidmatan paling terkesan akibat konflik di Timur Tengah ketika ini.

Jelasnya, dua sektor tersebut menyumbang 60 peratus kepada sektor ekonomi negeri, justeru kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu dua sektor ini dalam pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan datang.

“Sektor perkhidmatan seperti perniagaan penghantaran barang, kosnya meningkat disebabkan kenaikan harga diesel dan petrol.

“Sektor semikonduktor juga terkesan kerana harga gas meningkat. Sektor ini menggunakan gas helium dalam jumlah yang banyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN