fbpx
DZARIF menggunakan pakaian perlindungan lengkap seperti sut kulit, topi keledar, sarung tangan dan but tunggangan.

Dzarif ‘ketagih’ adrenalin litar lumba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRACK day ialah aktiviti tunggangan motosikal yang dijalankan sepenuhnya di dalam litar tertutup, di bawah pemantauan penganjur dan kawalan keselamatan yang lebih teratur.

Tidak seperti menunggang di jalan raya, track day memberi ruang kepada penunggang untuk mengasah kemahiran seperti titik membrek, garis perlumbaan dan pengambilan selekoh dalam persekitaran yang jauh lebih selamat.

Penganjuran aktiviti permotoran yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda itu lazimnya dibahagikan mengikut kapasiti enjin serta catatan masa pusingan (lap time) penunggang.

Bagi Muhammad Dzarif Fiqri Nor Azuan, 25, atau lebih dikenali sebagai Dzarif, aktiviti tersebut mula mendapat tempat di hatinya apabila dia mula menyertai salah satu track day di Litar Antarabangsa Sepang, tahun lalu.

“Mula-mula memang terasa mencabar juga menunggang di litar besar sebab suasana itu lain daripada biasa. Tapi latihan dekat litar go-kart sebelum tu banyak bantu saya jadi lebih yakin.

“Kami banyak belajar sesama kawan, termasuk rakan yang jumpa masa track day. Mereka tunjuk cara ambil selekoh dan asas-asas tunggangan yang betul.

“Saya memang pernah terjatuh dalam litar tapi bagi saya itu macam salam perkenalan dengan dunia litar.

“Apabila jatuh, baharulah kita tahu sejauh mana motosikal dan diri kita boleh diuji,” katanya.

Pada tahun ini sahaja, Dzarif bersama ahli kumpulan motor RTK Motorsport telah menyertai antara lapan hingga sepuluh sesi track day. Selain itu, mereka turut menganjurkan track day berskala kecil yang disertai sekitar 20 orang penunggang.

Antara litar yang digunakan oleh mereka ialah Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Go-Kart Sepang.

ANTARA litar yang digunakan oleh Dzarif dan rakan-rakannya adalah Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Go-Kart Sepang.

Sebelum memasuki litar, Dzarif akan memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, termasuk memeriksa tayar, rantai dan minyak enjin.

“Dari segi persiapan diri, penunggang perlu menggunakan pakaian perlindungan lengkap seperti sut kulit, topi keledar, sarung tangan dan but tunggangan.

“Di Sepang, penggunaan kelengkapan keselamatan penuh merupakan satu kewajipan. Jadi, kami akan pastikan semuanya lengkap,” katanya.

Sukan tersebut dianggap agak mahal, terutama bagi penggunaan litar penuh dengan kos walk-in antara RM200 hingga RM400 setiap sesi.

Di Litar Go-Kart Sepang, sesi lapan jam berharga sekitar RM200, manakala di Litar Antarabangsa Sepang pula, untuk dua jam antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada penganjur.

Biarpun begitu, aktiviti ini tetap menjadi pilihan kerana risikonya jauh lebih rendah berbanding jalan raya.

Tiada kenderaan lain, zon pasir disediakan sebagai kawasan keselamatan, marshal memantau keadaan dan semua penunggang diwajibkan memakai gear perlindungan lengkap.

Mengulas mengenai litar impiannya, Dzarif yang merupakan peminat sukan MotoGP dan mengidolakan penunggang Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta berkata, dia mahu mencuba litar Phillip Island di Australia.

“Phillip Island Grand Prix Circuit di Australia memang merupakan salah satu litar rasmi dalam kalendar MotoGP dan antara litar paling teknikal dalam dunia.

“Saya teringin cuba menunggang dalam litar bentuknya berliku-liku dan pantas. Litar ini sering digelar ‘roller coaster track’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN