fbpx
Perkahwinan antara Leena dan Faiz musnah kerana hobi suaminya membela ikan laga sehingga mengabaikan nafkah termasuk susu anak dan kebersihan rumah. – ILUSTRASI SHAH HASAN

‘Suami kata ikan lebih memahami dirinya daripada saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan, hobi seseorang juga boleh menjadi pemusnah kepada rumah tangga yang sekian lama dibina.

Bagi Leena (bukan nama sebenar), rumah tangganya musnah bukan kerana orang ketiga atau masalah kewangan yang biasa didengari.

Sebaliknya, perkahwinan Leena hancur kerana suaminya terlalu obses memelihara ikan laga sehingga seluruh ruang tamu dan dapur dipenuhi balang kaca.

Berkongsi kepada K-Wanita, pada awal perkahwinan, dia menganggap hobi suaminya, Faiz (bukan nama sebenar) memelihara lebih 50 ekor ikan laga sekadar minat biasa seorang lelaki.

Namun, keadaan berubah apabila Faiz mula menghabiskan duit gajinya hampir RM2,000 sebulan untuk membeli aksesori akuarium, makanan ikan diimport dan lampu khas sehingga menyebabkan bil elektrik rumah mereka melambung tinggi.

“Pernah sekali, saya menangis sebab duit susu anak habis digunakan untuk beli ikan laga berwarna emas yang katanya sangat ‘rare’.

“Bila ditegur, dia cakap saya tidak faham serta sokong minatnya membela ikan laga,” katanya.

Menurut wanita berusia 40 tahun itu, perkara paling sukar diterimanya, Faiz saban malam sanggup tidur di ruang tamu semata-mata mahu memastikan suhu air ikan kekal stabil sampai ke pagi.

Akui Leena, Faiz juga pernah memarahinya hanya kerana dia tersalah menukar air dalam salah satu balang ikan laga kesayangannya.

“Disebabkan hal itu, suami terus cakap, ikan itu lebih memahami dirinya daripada saya sebagai isteri.

“Kata-kata suami itu membuatkan hati saya bagai disiat-siat oleh pisau tajam. Sampai ke hari ini, saya masih tidak boleh lupa ayat itu,” ujarnya.

Menurut jururawat di klinik swasta itu, suaminya juga sangat degil dan langsung tidak ambil endah tegurannya, lebih-lebih lagi melibatkan soal kebersihan rumah.

“Ahli keluarga dan kenalan saya cakap rumah kami sudah macam kedai haiwan, dari luar sudah bau makanan serta hanyir ikan.

“Mana saya hendak letak muka. Rumah kami sudah macam tempat bela haiwan peliharaan.

“Malu saya dengan mereka semua. Bersihlah rumah macam mana pun, bau tetap tidak akan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Leena memberitahu, dia pernah cuba menyelamatkan perkahwinan mereka dengan pergi bercuti di beberapa lokasi.

Namun setiap kali pergi bercuti, Faiz tetap membawa bekas kecil berisi ikan laga kesayangannya kerana takut ia mati jika ditinggalkan terlalu lama di rumah.

“Saya rasa semua ikan peliharaannya itu sudah seperti anak dia. Hidup suami saya semuanya berkisar tentang ikan laga.

“Disebabkan ikan laga jugalah kami sering bertegang urat dan anak pula dimarahi tanpa sebab. Semuanya dia lebihkan haiwan peliharaannya,” katanya.

Selepas lima tahun menanggung ‘azab’ hidup bersama ikan laga, dan nafkah juga sering ‘dicatu’, Leena memilih untuk membawa haluan sendiri bersama dua anaknya.

Dia nekad berpindah ke rumah sewa baharu untuk memulakan hidup bersama anak-anak dengan tenang tanpa suaminya.

Selepas beberapa bulan tidak tinggal sebumbung, Leena mengambil keputusan untuk memfailkan cerai di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor.

Selepas beberapa kali sesi perjumpaan empat mata di mahkamah, akhirnya mereka disahkan berpisah.

Akui Leena, sehingga saat ini, jika ternampak ikan laga, hatinya pasti sakit kerana mengenangkan momen hitam bersama bekas suaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN