MONACO – Kedudukan Paris Saint-Germain (PSG) selaku pendahulu Ligue 1 makin terancam selepas tewas 0-1 kepada AS Monaco pada perlawanan yang berlangsung di Stade Louis II awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Takumi Minamino pada minit ke-68 sudah cukup untuk meletakkan PSG dalam situasi sukar memandangkan Olympique Marseille mengekori rapat di belakang dengan perbezaan satu mata.
Jurulatih PSG, Luis Enrique menyuarakan rasa kecewa dengan kekalahan tersebut selain menganggap aksi dipamerkan anak-anak buahnya merupakan yang terburuk sepanjang saingan musim ini.
“Memang sukar untuk mengekalkan aksi konsisten apabila ada pemain yang melakukan kesilapan individu. Bagi saya, ini adalah perlawanan paling buruk dan mengecewakan untuk kami sepanjang kempen 2025/26.
“Bagi saya, Monaco sudah mempamerkan aksi terbaik dan lebih layak untuk menang berbanding kami. Malam yang cukup malang untuk kami tetapi kami perlu lupakan kekalahan ini dan fokus aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah, Vitinha yang beraksi cemerlang pada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu gagal untuk mempamerkan prestasi sebenar apabila dikawal rapi pemain-pemain Monaco.
“Apabila anda melakukan banyak kesilapan, memang mustahil untuk mencatat kemenangan. Secara keseluruhan, kami perlu menerima hakikat bahawa prestasi malam ini (semalam) sangat teruk,” ujar Enrique. – AGENSI














