fbpx
GABRIEL menjadi pengambil sepakan penalti kelima, namun gagal menyempurnakan tugas berkenaan. - AFP

UCL: Henry bingung fikir percaturan Arteta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUDAPEST – Legenda Arsenal, Thierry Henry mempertahankan pemain bek The Gunners, Gabriel Magalhaes ekoran kegagalan sepakan penaltinya menghadiahkan kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Gabriel muncul sebagai pengambil sepakan kelima Arsenal dalam penentuan penalti, namun rembatannya tersasar sekali gus membolehkan PSG mempertahankan trofi UCL dengan kemenangan 4-3.

Henry mengakui pelik dengan keputusan pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang memilih Gabriel untuk mengambil sepakan paling kritikal tersebut.

“Saya sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berani mengambil penalti. Saya tidak tahu kenapa dia yang mengambil sepakan itu dan bagaimana dia dipilih sebagai pengambil penalti kelima, tetapi dia tetap tampil ke hadapan.

“Sepanjang musim ini dan juga dalam perlawanan akhir, dia bermain dengan sangat hebat. Malangnya dia terlepas sepakan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Henry yang pernah memenangi trofi UCL bersama Barcelona enggan melihat kekalahan tersebut sebagai kegagalan besar selepas Arteta membantu pasukan menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris selama 22 tahun.

“Ini tetap satu musim yang hebat buat Arsenal. Kadangkala kegagalan akan membantu anda menjadi juara pada masa depan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN