fbpx
Penduduk yang melarikan diri dari El-Fasher berehat sejurus tiba di kem pelarian di Al-Dabba pada 19 November lalu. - AFP

27,000 penduduk El-Fasher terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KHARTOUM – Gabenor wilayah Darfur, Minni Arko Minnawi mendedahkan bahawa seramai 27,000 rakyat Sudan terbunuh dalam masa cuma tiga hari ketika Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menawan bandar El-Fasher bulan lalu, lapor laman berita Middle East Eye semalam.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya berhubung skala pembunuhan beramai-ramai selepas pengunduran Angkatan Tentera Sudan (SAF) dari ibu kota negeri Darfur Utara itu, akhir Oktober lepas.

Sebelum ini, pegawai dan pekerja kemanusiaan menganggarkan jumlah kematian melebihi 2,500 orang.

Bagaimanapun, dalam beberapa hari dan minggu selepas kejatuhan El-Fasher yang  dikepung selama lebih 550 hari, terdapat banyak laporan pembunuhan beramai-ramai yang berleluasa.

Pekerja-pekerja  bantuan juga membangkitkan kebimbangan bahawa bilangan orang awam yang berjaya melarikan diri dari bandar itu cuma sedikit.

Bercakap dari ibu pejabat sementara di bandar Port Sudan, Minnawi mengkritik komuniti antarabangsa kerana gagal mencegah pembunuhan beramai-ramai tersebut.

“Kami memberi amaran berkali-kali kepada komuniti antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa jika ditawan RSF, Darfur akan menjadi lokasi genosid,” katanya.

Minnawi turut menuding jarinya kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kerana didakwa menyokong RSF dengan menyediakan senjata canggih seperti dron, namun Abu Dhabi berkali-kali menafikan tuduhan tersebut.

Bercakap beberapa jam sebelum ikrar mengejut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghentikan konflik di Sudan, Minnawi bercakap tentang prospek keamanan.

“Jika kita ingin berunding, kita perlu berunding dengan UAE dan bukan Hemedti,” katanya menggunakan nama biasa untuk pemimpin RSF, Mohamed Hamdam Daglo yang digelar boneka UAE. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI