RIYADH – Arab Saudi menggesa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengelakkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran sehingga selesai musim haji tahun ini susulan kebimbangan semakin meningkat di seluruh Teluk, lapor portal berita The New Arab.
Konflik baharu boleh menjejaskan kestabilan rantau itu ketika perhimpunan terbesar umat Isalam berlangsung.
Riyadh meminta Washington untuk mengelakkan ketegangan ketika pihak berkuasa Arab Saudi bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada lebih 1.5 juta jemaah yang dijangka datang dari seluruh dunia untuk acara tahunan tersebut, demikian menurut pelbagai laporan baru-baru ini.
Sekutu negara-negara Teluk yang lain dan pegawai kanan wilayah turut mendesak pentadbiran Trump untuk mengelak daripada mencetuskan semula konflik sepanjang tempoh haji.
Haji 2026 dijangka bermula pada 24 Mei ini dan berlangsung selama enam hari.
Pegawai pentadbiran Trump dilaporkan mengadakan perbincangan berasingan dengan pemimpin-pemimpin di Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pemimpin-pemimpin Teluk memanfaatkan perbincangan tersebut untuk menggesa Washington supaya menangguhkan tindakan ketenteraan dan membenarkan usaha diplomatik.
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan bahawa Iran mungkin akan melancarkan serangan tindak balas terhadap negara jiran di rantau berkenaan jika AS menyambung semula serangan, lapor saluran berita CNN memetik sumber yang mengetahui tentang perbincangan tersebut.
Pemimpin-pemimpin Teluk membentangkan ‘barisan bersatu’ bagi menggesa pentadbiran Trump agar bertenang dan mengamalkan kawalan diri, dengan musim haji menjadi sebahagian besar daripada kebimbangan tersebut.

Trump diberi amaran tindakan ketenteraan semasa haji boleh mencetuskan gangguan wilayah yang lebih luas, dengan pegawai-pegawai bimbang perang yang diperbaharui boleh menyebabkan sejumlah besar jemaah terkandas di seluruh Teluk, demikian menurut beberapa saluran media.
Pegawai-pegawai Teluk turut memberi amaran bahawa melancarkan serangan dalam tempoh suci menjelang Aidiladha boleh mencemarkan lagi kedudukan Washington di seluruh dunia Islam.
AS sebelum ini melancarkan serangan ke atas Iran semasa bulan suci Ramadan, dengan penganalisis menyuarakan kebimbangan bahawa sebarang ketegangan semasa musim haji akan mewujudkan cabaran logistik utama dan keselamatan bagi pihak berkuasa Arab Saudi.
Penganalisis juga memberi amaran bahawa konflik yang diperbaharui berkemungkinan akan mengganggu hab penerbangan serantau utama termasuk di Qatar dan UAE serta laluan yang menghubungkan Asia Selatan dan Timur, di mana ramai jemaah memulakan perjalanan mereka.
Laporan itu menyusul ketika Ketua Tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir dijangka melakukan perjalanan ke Iran kelmarin ketika Islamabad meneruskan usaha pengantaraan, manakala Tehran sedang meneliti cadangan baharu AS yang bertujuan menamatkan konflik.
Lawatan yang dijangkakan itu dibuat sehari selepas Trump memberi amaran bahawa rundingan berada di ‘fasa kritikal’ iaitu sama ada akan membuahkan kejayaan besar atau membawa kepada tindakan ketenteraan yang diperbaharui, walaupun terdapat usaha diplomatik berterusan untuk mendapatkan penyelesaian.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu berjaya menghentikan konflik selama beberapa minggu yang dilancarkan awal tahun ini oleh AS dan Israel.
Namun, rundingan setakat ini gagal menghasilkan sebarang keputusan bagi mencapai perjanjian damai yang berkekalan. – AGENSI














