KUALA SELANGOR – Misteri ketukan rumah tanpa salam kembali menghantui penduduk Selangor apabila terbaharu menganggu kedamaian perumahan penduduk di Fasa 3 Puncak Alam di sini.
Gangguan yang berlaku antara pukul 2.30 hingga 3 pagi, Selasa lalu menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penduduk apabila bunyi ketukan kuat didakwa berlaku secara misteri selama kira-kira 30 hingga 40 saat.
Lebih meresahkan apabila insiden tersebut mula dikaitkan dengan unsur mistik termasuk pocong dan amalan ilmu hitam selepas kisah itu tular di media sosial.
Untuk rekod, beberapa kampung di Sabak Bernam termasuk Kampung 37 Darat, Batu 38 dan Kampung Baharu pernah melalui situasi sama pada November 2020 sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.
Penduduk, Zulkifli Ali, 53, berkata, bunyi ketukan kuat itu didengari ibunya berusia 90 tahun yang tinggal bersamanya selain anak saudaranya berusia 26 tahun di rumah bersebelahan.
Katanya, ketika kejadian kedua-dua ahli keluarganya berada di bilik masing-masing di tingkat bawah dan atas rumah teres tersebut.
“Ketukan itu memang kuat dan berlarutan hampir 30 saat sehingga ibu saya ketakutan lalu menghubungi anak-anaknya. Anak saudara saya juga tidak berani buka pintu atau mengintai keluar tingkap sebab terlalu takut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, itu merupakan kejadian pertama berlaku sejak dia menetap di kawasan tersebut lebih dua dekad lalu.
“Selepas malam itu belum ada lagi bunyi ketukan, tetapi penduduk masih rasa tidak sedap hati terutama apabila ramai mula mengaitkannya dengan perkara mistik,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Haikal, 32, berkata, gangguan itu dipercayai berlaku hampir 10 minit di beberapa rumah sekitar kawasan perumahan berkenaan.
“Bukan semua rumah kena ketuk. Ada yang diketuk di depan, ada di belakang rumah. Paling menakutkan apabila ada rumah diketuk serentak di bahagian depan dan belakang. Masa kejadian saya bersama isteri dan dua anak berada di rumah,” katanya.
Tambahnya, dia pernah mengalami situasi sama ketika berusia 14 tahun sewaktu menetap di Kampung Bukit Kuching.
“Dulu pun macam ini juga, rumah tertentu sahaja yang kena ketuk,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Nor, 37, berkata, rumahnya tidak diganggu dan hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas membaca perkongsian di media sosial.
“Risau juga sebab ada anak kecil. Bila dikaitkan pula dengan perkara mistik memang buat penduduk takut. Kami harap ada rondaan polis dilakukan di kawasan ini terutama pada waktu awal pagi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














