PETALING JAYA – Institusi latihan profesional, Nexpert Academy mengumumkan inisiatif pendidikan strategik buat individu bumiputera untuk mengikuti program pensijilan profesional bertaraf industri dalam bidang Artificial & Machine Learning, keselamatan siber, pembangunan perisian dan teknologi digital termaju.
Program berkenaan memperoleh pembiayaan penuh daripada Yayasan Peneraju, yang mana peserta berpeluang menukar pembiayaan kepada biasiswa sekiranya memenuhi kriteria kehadiran minimum 85 peratus dan lulus penilaian akhir program.
Pengarah Nexpert Academy, Nazreen Abdul Ghani berkata, melalui kerjasama Yayasan Peneraju, peserta akan memperoleh peluang pembelajaran dengan sokongan ekosistem pembiayaan, metodologi latihan yang berstruktur dan rangkaian profesional industri.
“Kami komited untuk membangunkan lebih ramai profesional teknologi bumiputera bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa hadapan.
“Kejayaan Malaysia sebagai hab inovasi serantau memerlukan pembangunan bakat tempatan yang progresif dan bersedia bersaing dalam ekonomi global,” katanya dalam kenyataan.
Nazreen menjelaskan, melalui kurikulum berorientasikan industri dan penglibatan tenaga pengajar berpengalaman, Nexpert Academy menyediakan latihan bersijil yang relevan dan komprehensif, sekali gus meningkatkan keupayaan peserta untuk menceburi kerjaya berpendapatan tinggi sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa. -KOSMO! ONLINE















