NOALE, Itali – Ketua pasukan Aprilia, Massimo Rivola meletakkan sasaran jelas pada musim 2026 apabila mahu pasukannya itu mencabar kejuaraan dunia MotoGP 2026.
Tegas Rivola, pembangunan jentera RS-GP26 ‘wajib dilahirkan sebagai jentera juara’ sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada semua pelumbanya musim depan.
Keyakinan itu disuarakan selepas pengeluar dari Itali itu mengharungi musim 2025 yang cemerlang apabila berjaya meraih tiga kemenangan menerusi pelumba utamanya, Marco Bezzecchi yang turut menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.
Menurut Rivola, kejayaan itu menjadi landasan terbaik untuk meletakkan sasaran lebih tinggi, biarpun pada masa sama terpaksa berdepan detik sukar dengan siri kecederaan yang menimpa seorang lagi pelumba bintang mereka, Jorge Martin.
“Ia musim yang amat mendebarkan. Di satu sisi kecederaan Jorge (Martin) dan di sisi lain, perkembangan Marco (Bezzecchi) yang cemerlang mencipta kemenangan.
“Musim ini membolehkan kami memandang ke tahun 2026 tanpa menyembunyikan sasaran kami iaitu untuk bertarung merebut kejuaraan,” katanya.
Rivola turut memuji peranan pasukan satelit, Trackhouse Racing yang dianggap banyak membantu pembangunan teknikal jentera mereka, yang turut menyumbang satu kemenangan menerusi Raul Fernandez musim lalu.
Keyakinan Aprilia itu disokong oleh prestasi cemerlang mereka pada sesi ujian di Valencia baru-baru ini apabila pelumba satelit, Raul Fernandez muncul terpantas manakala Bezzecchi dan Martin sibuk menguji casis serta pakej fairing baharu. – AGENSI














