PETALING JAYA – Pelakon Daiyan Trisha mengambil langkah menyekat beberapa akaun media sosial demi ketenangan diri.
Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 33, memaklumkan tindakan tersebut terpaksa diambil bagi melindungi dirinya daripada terus dikelilingi aura dan perasaan negatif.
“Demi ketenangan fikiran, saya buat keputusan untuk sekat atau senyapkan (mute) tiga jenis manusia iaitu golongan peniru (copycat), jenis yang sentiasa tengok hantaran tapi tak pernah suka atau komen dalam hantaran.
“Dan orang yang saya tahu suka mengata di belakang saya.
“Saya nak lindungi hati saya daripada perasaan negatif, jadi selamat tinggal,” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, bintang drama Projek: High Council itu berharap golongan yang dimaksudkan dapat menjalani kehidupan bahagia tanpa perlu mengganggunya lagi.
“Semoga bahagia dengan hidup kalian. Tapi jauh daripada saya,” katanya lagi.
Begitupun, tidak dapat dipastikan tujuan sebenar atau siapakah individu yang mendorong Daiyan memuat naik luahan berkenaan.
Namun, ada seorang individu memberi bayangan seolah-olah mengetahui maksud tersirat di sebalik tindakan yang diambil pelantun lagu Penat itu.
“Akhirnya awak sekat dia, saya dah lama perasan. Tak silap masa 2022 atau 2023 awak rapat dengan dia tapi sekarang dia macam memilih tak buat ucapan untuk drama atau lagu awak.
“Hantaran kawan lain dia macam cakap ‘rindu’. Baik untuk awak Daiyan,” kata peminat. – KOSMO! ONLINE















