fbpx
MARQUEZ meraih kemenangan kedua berturut-turut sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mempertahankan gelaran dunia kembali terbuka. - AFP

MotoGP: Marquez terus hidupkan impian juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRNO – Pelumba Ducati, Marc Marquez membuktikan dia masih belum menyerah dalam perebutan gelaran dunia apabila melakar kemenangan dramatik pada Grand Prix (GP) Republik Czech selepas memintas rakan sepasukan Ducati, Francesco Bagnaia pada penghujung perlumbaan kelmarin.

Juara dunia tujuh kali itu memulakan saingan dari petak keempat mengekori Bagnaia hampir sepanjang perlumbaan sebelum melakukan gerakan memintas pada pusingan ke-16 untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas turut menjuarai GP Hungary sebelum ini.

Kejayaan tersebut hadir tepat pada masanya buat Marquez yang sebelum ini menegaskan dia masih mampu menyaingi generasi baharu MotoGP meskipun kini berusia 33 tahun.

“Ini adalah kemenangan yang sangat penting. Saya tidak pernah berputus asa. Pada pusingan terakhir saya sedikit bergelut, tetapi saya cuba mengekalkan rentak.

“Saya nampak Ogura cuba mengejar, namun ia tidak mencukupi. Enam pusingan terakhir itu adalah yang paling panjang buat saya musim ini,” katanya.

Bagnaia yang memburu kemenangan berganda selepas menjuarai perlumbaan pecut pada Sabtu gagal mempertahankan kedudukan apabila turut dipintas pelumba Trackhouse Racing, Ai Ogura pada pusingan ke-18.

Ogura sekali lagi mempamerkan kepakaran dalam fasa akhir perlumbaan apabila menamatkan saingan di tempat kedua dengan ketinggalan hanya 0.421 saat di belakang Marquez, manakala Bagnaia terpaksa berpuas hati di tangga ketiga.

Kemenangan tersebut menyaksikan Marquez yang berada di kedudukan keempat keseluruhan kejuaraan kini berjaya mengurangkan jurang kepada 40 mata di belakang pendahulu, Marco Bezzecchi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN