fbpx
Lelaki dipercayai jurugambar ini pernah ditahan dalam operasi yang lepas disoal siasat anggota DBKL di KLCC, malam tadi.

‘Pelancong ramai suka, bila kena operasi, hilang punca rezeki kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Di sebalik hiruk-pikuk pengunjung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekumpulan jurugambar jalanan haram kini berdepan masa depan yang tidak menentu apabila operasi penguatkuasaan terbaru menjejaskan punca pendapatan mereka.

Seorang daripada mereka, Marjan, 30-an yang sudah lebih tujuh tahun mencari rezeki sebagai jurugambar, mengakui kehidupannya kini semakin sukar.

“Rezeki kami sebenarnya halal, tapi bila kena operasi macam ni, terus tak tahu nak buat apa. Kami tak ada kerja lain. Ini saja pekerjaan dari bujang sampai saya ada anak,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! dalam operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan terhadap jurugambar di sekitar KLCC, di sini malam tadi.
Marjan yang membantu pelancong mengambil gambar di kawasan tersebut secara harian berkata, operasi itu memberi tamparan besar kerana kerjanya merupakan pendapatan utama keluarga.

“Kita bukan kacau orang. Pelancong pun ramai suka, tapi bila kena operasi, hilang punca. Saya pagi kerja, tengah hari balik, malam sambung balik. Memang ini saja kerja saya,” ujarnya.

Dia mendakwa, isu paling membimbangkan ialah bayaran harian yang sering tidak menentu, ditambah pula dengan pelanggan yang tidak menunaikan janji selepas gambar dihantar.

“Ada pelancong janji bayar RM10, tapi bila dah hantar gambar, bayar separuh. Ada kata tak cantik. Kadang-kadang kita rugi masa dan minyak, tapi nak marah pun tak boleh,” katanya.

Marjan menafikan dakwaan jurugambar asing mengambil alih kerja mereka dan menegaskan bahawa kebanyakan mereka adalah warga tempatan yang hanya mahu mencari rezeki sederhana.

“Gambar memang orang kita sendiri yang buat pada kadar bayaran RM5 setiap satu. Bukan dari Indonesia atau Filipina seperti dicanang dan kami cuma guna kamera dan pencetak kecil sahaja, bukan peralatan besar pun,” jelasnya.

Ditanya mengenai masa depannya selepas operasi itu, Marjan sekadar menggeleng.

“Saya pun tak tahu apa perancangan lepas ni. Dari 2018 saya buat kerja ni, tiba-tiba semua hilang,” katanya.

Operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan susulan aduan orang ramai berhubung gangguan dan aktiviti jurugambar tidak berlesen di kawasan tumpuan pelancong itu.

Bagi Marjan dan rakan-rakannya, persoalan terbesar kini bukan lagi soal permit atau syarat operasi, tetapi nasib keluarga yang bergantung sepenuhnya pada hasil sekeping gambar.

Seorang jurugambar muda, Ampal, 18, dari Ampang mengakui buntu memikirkan masa depannya selepas dikenakan kompaun dalam operasi penguatkuasaan terhadap jurugambar jalanan di sekitar KLCC.

Remaja berasal dari Kota Kinabalu, Sabah yang baru sebulan berjinak-jinak sebagai jurugambar berkata, tindakan penguat kuasa itu memberi kesan besar kepada dirinya yang masih berusaha mencari duit untuk meneruskan pengajian.

“Saya baru habis belajar dengan ada Sijil Pelajaran Malaysia. Memang nak sambung belajar. Tapi saya kerja dulu nak kumpul duit. Buat murah-murah pun janji dapat bayar belajar nanti,” katanya.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia dikenakan kompaun kali pertama walaupun baru sebulan mencari rezeki di lokasi itu.

“Saya baru sekali kena. Baru sebulan lebih kerja, tapi kena kompaun, lepas ni kalau kena lagi, macam mana nak cari duit bayar?” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu KL Strike Forcemelibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia dijalankan kira-kira pukul 8.30 malam sehingga 12 tengah malam di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.

Berdasarkan notis kompaun yang dikeluarkan, mereka ditahan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.

Selain itu, peralatan digunakan turut dirampas untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI