KUALA NERUS – Pendaratan ikan tempatan dijangka merosot sedikit menjelang hujung tahun ini berikutan segelintir pengusaha bot nelayan laut dalam atau C2 terpaksa menghentikan operasi sementara ekoran lonjakan harga bahan api global pada masa ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan ikan tempatan oleh nelayan C2 masing-masing telah berkurangan 3,000 dan 4,000 tan metrik pada bulan Mac dan April lalu.
Beliau berdasarkan maklum balas, sebanyak 14.25 peratus atau 57 daripada 400 bot nelayan C2 tempatan memilih ‘bercuti’ sementara daripada menangkap ikan kerana tidak mampu menanggung kenaikan kos operasi.
“Nelayan C2 tidak menerima subsidi bahan api daripada kerajaan berbanding kategori lain iaitu kategori A, B dan C.
“Segelintir (nelayan C2) tidak mampu beroperasi (sementara) akibat kenaikan kos operasi ekoran kawasan operasi mereka jauh iaitu 30 batu nautika (55.56 kilometer),” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di Pulau Redang di sini hari ini.
Adnan berkata, Jabatan Perikanan memahami masalah pengusaha bot nelayan C2 tersebut dan memberi jaminan tidak akan mengambil apa-apa tindakan perundangan termasuk penggantungan lesen terhadap golongan tersebut.
Beliau berharap krisis tenaga ekoran konflik Asia Barat dapat berakhir segera agar industri nelayan tempatan kembali memulih seperti biasa.
“Walaupun menjangkakan pengeluaran ikan tempatan akan sedikit merosot akibat masalah dihadapi nelayan C2 berkenaan, saya percaya bekalan hasil laut negara tetap akan stabil. – KOSMO! ONLINE














