TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, menemui nota yang ditinggalkan pasukan penyelamat di Kem Air Busuk, Gunung Batu Putih di sini pada 30 Mei lalu sewaktu operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilaksanakan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nota yang ditemuinya dibawa keluar oleh Jaslinda dan ditunjukkan kepada pihak bomba semalam.
“Nota berkenaan ditinggalkan oleh malim gunung Hafis di Kem Air Busuk semasa dia membuat pencarian di kawasan berkenaan di mana fokus pencarian bermula dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk pada hari berkenaan iaitu 30 Mei.
“Jaslinda hanya sampai ke kawasan berkenaan semalam,” katanya di sini hari ini.
Media semalam melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh setelah operasi SAR terhadapnya dilakukan selama dua minggu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah kira-kira pukul 4.55 petang menerima maklumat melalui talian MERS 999 bahawa mangsa telah ditemui. – KOSMO! ONLINE














