fbpx
ESTEVAO (kanan) beraksi cemerlang apabila turut menyempurnakan sepakan penalti ketika seri dengan Tunisia awal pagi tadi. - AFP

Bintang Chelsea selamatkan maruah Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LILLE – Bekas juara dunia lima kali, Brazil terus menampilkan prestasi ‘yo-yo’ apabila kali ini terpaksa bangkit untuk mengikat Tunisia 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stade Pierre-Mauroy awal pagi tadi.

Bintang muda Chelsea berusia 18 tahun, Estevao menyelamatkan maruah Brazil dengan jaringan penyamaan selepas menyempurnakan sepakan penalti di hujung babak pertama, memadam gol awal Tunisia daripada Hazem Mastouri.

Bagaimanapun, Selecao harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memenangi perlawanan itu selepas Lucas Paqueta mensia-siakan satu lagi sepakan penalti diperoleh dalam aksi tersebut.

Keputusan seri itu menimbulkan keraguan terhadap kemampuan sebenar Brazil ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan selepas mereka turut menamatkan kelayakan zon Amerika Selatan di kedudukan kelima.

Dalam empat perlawanan terakhir termasuk seri menentang Tunisia, Brazil cuma menang dua kali, 5-0 ke atas Korea Selatan dan 2-0 menewaskan Senegal selain kekalahan mengejut 2-3 kepada Jepun.

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti kekal tenang dan enggan panik dengan prestasi semasa anak-anak buahnya kerana merasakan beliau memerlukan masa untuk membentuk barisan terbaik selepas dilantik pada Mei lalu.

“Kami berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap terbaik di Piala Dunia. Kami bermain sangat baik bertemu Senegal tetapi perlawanan hari ini jauh lebih sukar menentang Tunisia.

“Tunisia mempunyai ciri berbeza apabila bertahan dengan blok yang sangat dalam. Sukar untuk mencari ruang menentang jenis pertahanan seperti ini,” kata bekas pengendali Real Madrid itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN