PORT DICKSON – Festival Ghontak Nogoghi 2025 berlangsung meriah apabila mencatatkan sambutan luar jangkaan dengan lebih 100,000 pengunjung hadir melebihi sasaran ditetapkan sepanjang tiga hari penganjuran.
Menampilkan keunikan seni budaya dan warisan Negeri Sembilan berteraskan Adat Perpatih, festival itu diadakan dari Jumaat lalu sehingga semalam di Pantai Batu 1, di sini.
Acara berkenaan dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dengan kerjasama Kelab Teater Asar dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Bertemakan ‘Lantai Adat, Laman Budayo’, festival itu mengetengahkan seni, adat dan tradisi Negeri Sembilan sebagai warisan unik yang wajar dipertahankan, selain memperkenalkan identiti tempatan kepada generasi muda serta pelancong dalam dan luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan luar biasa terhadap festival tersebut membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap seni budaya tempatan, justeru kerajaan negeri bercadang menjadikannya acara tahunan.
“Kita bersyukur apabila program ini mendapat sokongan MOTAC, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan JKKN. Lokasi di Port Dickson ini juga amat sesuai dijadikan tapak tetap penganjuran festival ini setiap tahun,” katanya selepas majlis perasmian di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, kepentingan usaha memelihara seni, adat dan budaya negeri agar tidak pupus ditelan kemodenan.
“Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang masih mengamalkan Adat Perpatih dan keunikan ini harus diangkat sebagai produk pelancongan berasaskan adat bagi menambah nilai kepada sektor pelancongan negeri dan negara,” katanya.
Ketika berucap, katanya, selain daripada keunikan adat dan warisan di Negeri Sembilan, negeri ini sememangnya kaya dengan kawasan tarikan pelancong terutamanya yang berteraskan alam semula jadi seperti pantai dan Taman Eko Rimba.
“Berdasarkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS 2021-2025), kerajaan negeri menetapkan segmen pelancongan kepada 60 peratus pelancongan pantai, 30 peratus eko-pelancongan dan 10 peratus pelancongan adat, warisan dan budaya,” katanya.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, kejayaan penganjuran festival itu menyerlahkan keistimewaan Negeri Sembilan yang kaya dengan budaya dan adat warisan.
“Dengan sokongan kerajaan negeri, saya yakin festival ini mampu diteruskan pada masa akan datang. Ia bukan sekadar mengangkat seni budaya, tetapi turut memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat melalui penyertaan dalam jualan, pameran dan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














