SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan kononnya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) baharu menyertai pentadbiran negeri seperti tular di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, perkara itu tidak dapat disahkan buat masa ini kerana tiada maklumat rasmi diterima.
“Saya nak cakap saya tak ada maklumat. Tak sesuai untuk saya mengesahkan ada atau tidak. Buat masa ini saya memang tak tahu. Cerita itu saya pun tak pasti datang daripada mana,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Mengulas mengenai sebarang rundingan, Aminuddin berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan atau usaha menghubungi mana-mana pihak berkaitan perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan isu berkaitan peruntukan melibatkan 14 ADUN serta pelantikan ketua kampung dan ahli majlis juga belum dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri hari ini.
“Buat masa ini mereka masih ada baki peruntukan dalam akaun masing-masing, jadi urusan masih berjalan seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














