KUALA LUMPUR- ASEAN disifakan terus teguh berdiri bagi memastikan keutuhan kerjasama antara negara anggota meskipun blok serantau itu berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan situasi politik global.
Berucap ketika merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan ASEAN bukan terletak pada elemen keseragaman, sebaliknya berpaksikan rasa hormat dan rasional yang menyatukan blok berkenaan.
“Tahun 2025 menuntut banyak perkara, dunia terasa tidak menentu, tertib lama semakin goyah, manakala tertib baharu masih belum terbentuk. “Di pelbagai rantau, kita menyaksikan peningkatan persaingan dan ketidaktentuan. Ujian itu menggugat bukan sahaja ekonomi kita, tetapi keteguhan untuk terus berpegang kepada kerjasama selain percaya persefahaman dan dialog masih mampu mengatasi perpecahan zaman ini,” katanya hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang diterima pakai Mei lalu turut menggambarkan siapa yang blok itu mahu jadi selain menuntut agar cita-cita diterjemahkan menjadi kenyataan.
“Wawasan ini menyeru kita untuk memperkukuh kesatuan dan sentraliti ASEAN, mengejar pertumbuhan yang tahan lasak dan saksama serta melindungi kesejahteraan generasi akan datang.
“Sepanjang tahun ini, Malaysia sebagai Pengerusi juga telah berusaha untuk menyusun semula keutamaan ASEAN agar pertubuhan ini kekal tangguh, relevan dan responsif terhadap zaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE














